ONAGAWA: Sepuluh tahun lalu, Yasuo Takamatsu kehilangan isterinya apabila tsunami membadai bandar Onagawa di Miyagi, Jepun. Dua tahun kemudian, Takamatsu yang berusia 64 tahun itu, berjaya memperoleh lesen menyelam yang diperolehi khas untuk mencari isterinya yang hilang.
Sehingga hari ini, Takamatsu telah menyelam sebanyak 470 kali yang mana aktiviti berkenaan dilakukan setiap minggu sejak tujuh tahun lalu. "Saya menyelam untuk isteri saya... jika saya dapat temuinya di suatu tempat. Saya selalu berfikir yang dia mungkin berada di kawasan yang berdekatan. "Baru-baru ini terdapat laporan yang menyatakan ada mayat yang ditemui, jadi saya rasa amat penting untuk saya teruskan pencarian tanpa putus asa," katanya.
"Dalam mesejnya yang terakhir dihantar kepada saya, dia mengatakan 'Adakah awak okay? Saya mahu pulang'. Jadi saya pasti dia masih mahu pulang ke rumah. Saya mahu bawa dia pulang," katanya lagi. Selain menyelam secara solo, setiap sebulan sekali, Takamatsu juga menyertai pihak berkuasa tempatan melakukan operasi pencarian untuk mencari sekitar 2,500 orang yang mayatnya masih belum dijumpai. Sehingga kini, dia telah menemui album, pakaian dan artifak namun bukan bukan milik isterinya. Tegasnya, selagi tubuhnya masih bergerak, dia akan terus menyelam untuk mencari isterinya. -CARI Sumber: Awani |
ADVERTISEMENT