MENTERI Kesihatan Sri Lanka, Pavithra Wanniarachchi disahkan positif COVID-19. Beliau sebelum ini dikritik kerana menyokong dan mengamalkan minum sirap herba yang dibuat oleh bomoh, kononnya penawar kepada koronavirus. Seorang pegawai Kementerian Kesihatan pada Sabtu mengesahkan, Pavithra menjadi pegawai tertinggi setakat ini yang dijangkiti virus itu. Beliau dan kontak rapatnya diminta menjalani kuarantin. Doktor menyatakan tidak ada asas saintifik menyokong pengambilan sirap tersebut sebagai ubat untuk koronavirus. Sirap itu dikatakan mengandungi madu dan buah pala.
Disember lalu, ribuan orang berbaris panjang di bandar Kegalle, timur laut ibu kota Colombo, untuk mendapatkan sirap itu setelah Pavithra dan beberapa pegawai kerajaan lain secara terbuka meminumnya. Pembuat sirap itu mendakwa dia mendapat formula dari kuasa Tuhan. Menerusi media tempatan, dia mendakwa Dewi Hindu Kaali muncul dalam mimpi dan memberikan resipi untuk menyelamatkan umat manusia dari koronavirus. Perubatan alternatif sebagai usaha menyembuhkan penyakit diamalkan secara meluas dalam kalangan majoriti masyarakat di Sri Lanka. Sri Lanka melaporkan 52,964 kes dengan 278 kematian setakat ini akibat COVID-19. Sumber : AstroAwani |
ADVERTISEMENT