SEBELUM ini, penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura, dijadualkan bakal mengadakan konsert solonya, Konsert Pelangi Untukmu, pada 21 September lalu. Namun, atas sebab-sebab tertentu, konsert itu terpaksa ditunda ke tarikh lain iaitu pada 16 November depan. Akibat penangguhan itu, ada desas-desus yang mengatakan konsert Ning gagal mendapat sambutan dan tiket tidak laku. Menafikan perkara itu, pelantun lagu, Selagi Ada Cinta, ini menjelaskan penangguhan itu dibuat kerana dua daripada tiga lagu barunya gagal disiapkan pada tarikh berkenaan. "Sebenarnya, konsert ini adalah bertujuan untuk memberi penghargaan kepada peminat. Jadi, saya rasa konsert itu 'kosong' sekiranya tiada buah tangan terbaru untuk peminat yang selama ini banyak menyokong karier seni saya. "Jadi, saya membuat keputusan untuk menunda konsert itu ke tarikh lain selepas lagu terbaru saya siap sepenuhnya kerana pada konsert itu, saya turut menayangkan muzik video (MTV) lagu baru. "Pada malam konsert itu juga, saya turut memperkenalkan album kompilasi terbaru berjudul, Kekal Ning, yang memuatkan 10 hingga 12 lagu saya termasuk baharu dan lama," katanya ketika ditemui di konti Suria FM, ketika mempromosikan konsert tersebut menerusi segmen, Sepetang Bersama Linda Onn. Memilih TM Convention Centre, sebagai lokasi konsert, tiga lagu baru yang bakal didendangkan secara eksklusif ketika konsert itu adalah, Pelangi Untukmu, Embunan Bersinar dan Bukan Wanita Sempurna. Menariknya, lagu Bukan Wanita Sempurna adalah sentuhan komposer dari negara seberang, Ade Govinda. Kos lebih RM1 juta Walaupun konsert itu dijangkakan penuh dengan tarikan dan kejutan buat penonton, namun Ning tidak meletakkan bebanan dari segi kemampuan mendapatkan tiket. Hanya meletakkan harga tiket serendah RM50 dan RM75, Ning mengakui, konsert itu bukanlah platform 'buat duit'. "Inilah pengorbanan saya buat peminat yang banyak menyokong saya sepanjang 20 tahun dalam industri. Malah, ada yang bertanya, kenapa tiket konsert saya sangat murah. "Sejujurnya, kalau nak kira dari segi untung, ianya nyata merugikan. Bajet untuk konsert itu sebenarnya lebih daripada RM1 Juta. Namun, saya lebih selesa menganggapnya sebagai penghargaan. Rezeki ada di mana-mana sahaja dan ada ketika saya perlu berkorban. "Namun, saya turut menyediakan pakej eksklusif di mana 300 tiket akan dijual dengan harga, RM150, untuk tempat duduk di baris hadapan pentas. Alhamdulillah, setakat ini sambutan daripada peminat sangat menggalakkan," katanya yang turut mengadakan peraduan di Instagram miliknya. Menerusi peraduan itu, peserta perlu menghantar video parodi lagu-lagu Ning untuk memenangi pakej makan malam bersama penyanyi itu di Restoran Botanical, Bangsar Village, pada 11 November depan. Menurut Ning, enam hingga 10 peserta yang menghantar video parodi terpilih akan menyertai makan malam bersamanya. Selain itu, pendengar radio, Suria FM juga boleh menyertai peraduan untuk memenangi tiket konsert Ning. Konsert dalam VCD Menurut Ning, konsertnya itu akan diadakan dalam tiga segmen di mana setiap satu daripadanya menjanjikan persembahan yang terbaik. "Konsert ini bertujuan mendekatkan diri saya kepada peminat dan mengajak penonton berkaraoke bersama. Segmen pertama, saya akan menyanyikan lagu-lagu yang menggambarkan perasaan saya ketika hamil. "Segmen kedua membariskan lagu saya bersama anak, Ryan Sky Dalton dan segmen ketiga pula akan diserikan dengan lagu-lagu lama yang diberi nafas baru. "Insya-ALLAH, saya akan menyampaikan 18 hingga 20 lagu pada malam itu. Malah, saya turut menyusun sesi bergambar dan beramah mesra bersama peminat. Peminat juga boleh bertemu dengan saya secara eksklusif," katanya yang menjanjikan kualiti konsert terbaik. Tambah Ning, kemungkinan besar, dia juga akan membawa putera kesayangannya ke konsert tersebut. "Insya-ALLAH, saya akan bawa Ryan bersama. Namun, saya tak janji untuk bawa dia ke atas pentas. Ryan masih tidak biasa dengan suasana pentas dan konsert. "Lagipun ini adalah konsert 360 darjah yang memerlukan saya menguasai pentas yang bulat di mana pemuzik berada di tengah-tengah pentas," katanya yang turut mengabadikan konsert tersebut dalam bentuk video cakera padat (VCD). Menurutnya, selepas berakhirnya konsert ini, dia bakal mengadakan konsert jelajah di beberapa buah negeri termasuk Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Singapura.
|
ADVERTISEMENT