Ketika pasaran dunia tertumpu kepada platform digital, penyanyi Lah Ahmad berani mengambil risiko menerbitkan album fizikal. Tampil dengan album berjudul Selamat Datang Cinta, sebagai permulaan, Lah menjual 1,000 unit cakera padat (CD) buat peminat.
Lah atau nama penuhnya, Abdullah Ahmad teruja menghasilkan album fizikal dan memasarkannya melalui media sosial.
"Jika diikutkan, saya merancang mengadakan sidang media pelancaran album ini. "Namun, dengan keadaan pandemik COVID-19, ia tidak mengizinkan. Jadi, saya jual CD ini melalui media sosial seperti Instagram," katanya kepada BH Online. Lah yang mencipta nama bersama kumpulan VE sedar banyak pihak skeptikal dengan penghasilan album fizikal ketika pasaran muzik tidak menentu. "Namun, saya rasa lebih puas apabila menghasilkan album yang boleh disentuh dan dirasa dengan tangan... Lebih berkat. "Mungkin saya jenis 'old fashion', tetapi tidak mengapa. Cetakan CD hampir terjual semuanya. Ini yang membuatkan saya puas dan gembira," katanya.
Bercerita lanjut mengenai album Selamat Datang Cinta, Lah berkata, proses rakaman bermula sejak Mac lalu, iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan. "Album ini ditawarkan dalam dua pakej. Pakej A hanya cakera padat. Pakej B pula menawarkan hadiah lain. "Saya fikir masih ada peminat mendengar lagu melalui CD seperti di dalam kereta ketika memandu. Jadi, bukan masalah buat saya. "Namun, Insya-Allah, saya akan pasarkan album ini secara digital kelak," katanya. Dalam buah tangan terbarunya itu, Lah bekerjasama dengan Haqiem Rusli dan Aina Abdul. "Haqiem cipta lagu berjudul Sejarah untuk saya. Haqiem jumpa saya dua tahun lalu menyatakan hasrat mahu memberikan lagu... Akhirnya jadi kenyataan. "Aina pula saya tampilkan dalam lagu Tunggu Kamu. Lagu itu ciptaan saya sepenuhnya. "Saya memang bercita-cita berduet dengan artis baharu. Dalam ramai penyanyi, tuah menyebelahi Aina," katanya.
Mengenai pembabitan dirinya dalam Konsert Inteam 20 Tahun, Lah akan menyanyikan dua lagu solo selain berduet dengan kumpulan nasyid itu. Selain Lah, Khai Bahar, kumpulan Exists, Hijjaz dan UNIC turut diundang memeriahkan konsert dalam talian yang akan dianjurkan di Warisan Hall Studio, Sijangkang, pada 12 Disember ini. Konsert itu dikendalikan melalui Geran Dana Kandungan Digital (DKD) yang disalurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Tiket konsert dalam talian yang ditawarkan pada harga serendah RM10 hingga RM200 itu boleh dibeli dengan melayari www.inteam.my. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|