Baru berusia 19 tahun, Masya Masyitah dah berjaya beli rumah secara tunai. Penyanyi yang berasal dari Kulim, Kedah ini kata semua wang yang diperolehi adalah hasil dari kerjaya nyanyiannya.
"Saya sudah menyanyi sejak kanak-kanak lagi, termasuk banyak menyertai pertandingan nyanyian dianjurkan. Jadi, saya dah kumpul duit dari kecil dan Alhamdulillah, kini dapat beli rumah. "Pembelian dibuat secara tunai kerana lebih mudah dan saya tak perlu terikat dengan kadar faedah pinjaman di bank. Apatah lagi, saya tiada kerja tetap yang mempunyai penyata gaji bulanan. "Apapun, saya amat bersyukur sudah memiliki aset sendiri seperti rumah dan kereta, hasil daripada aktif menyanyi selama ini," katanya kepada Harian Metro.
Namun untuk kereta, juara program Ceria Popstar musim kedua ini ada membuat pinjaman bank. Sebelum ini Masya pernah dilabel riak kerana menunjukkan kemewahan dengan berkongsi video dekorasi dan tatarias dalam kediamannya di YouTube. "Apa yang saya tunjukkan dalam video di YouTube itu hanya perkongsian biasa kepada peminat yang menyokong selama ini. Tidak ada niat nak menunjuk-nunjuk langsung. "Bagaimanapun, saya tahu tidak semua yang dilakukan atau ditunjuk kepada umum itu disukai orang lain. Pasti, ada segelintirnya yang akan beri komen negatif," tambahnya. Tambah Masya yang popular dengan lagu Halimunan dan Hapus ini, dia membeli kondominium di Cheras kerana mudah untuk lebih aktif dalam kerjaya di ibu kota. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|