Pandemik Covid-19 terus meragut lebih 73,000 nyawa di seluruh dunia termasuk ibu pengurus kelab bola sepak, Manchester City, Pep Guardiola. Mengikut laporan agensi berita, AFP, ibu pengurus itu, Dolor Sala Carrio, 82, meninggal dunia setelah menjalani rawatan wabak berkenaan di Manresa, Barcelona, Sepanyol pada 6 April 2020. Berita kematian ibu Guardiola diumumkan secara rasmi oleh Manchester City dalam satu kenyataan. "Warga Manchester City berdukacita dengan berita kematian ibu Pep (Guardiola), Dolor Sala Carrio di Manresa, Barcelona akibat jangkitan virus Corona hari ini. Kami mengucapkan takziah dan simpati pada saat paling menyedihkan buat Pep, keluarga dan sahabatnya." Sala Carrio yang merupakan bekas pekerja di sebuah kilang tekstil di Santpedor kira-kira 40 batu dari utara Barcelona adalah insan yang memainkan peranan penting dalam karier awal Guardiola sebagai pemain dan pengurus bola sepak. Mendiang membenar anak lelakinya itu ditandatangani Barcelona sebagai prospek pemain muda berbakat setelah dipujuk buat kali kedua oleh kelab bola sepak terkenal Sepanyol itu. Karier Guardiola, 49, berkembang pesat di Barcelona sehingga dilantik kapten pasukan dan menjadi salah satu watak penting membawa kelab berkenaan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 1992. Beliau juga cemerlang sebagai pengurus apabila membantu Barcelona memenangi treble iaitu tiga piala dalam semusim seawal tahun pertama mengendalikan kelab tersebut pada musim 2008-2009. Reputasi Guardiola sebagai pengurus kelab bola sepak berkelas dunia terus menyerlah selepas berhijrah di kelab Jerman, Bayern Muchen dan juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Beliau juga aktif dalam kempen kesedaran tentang pencegahan wabak Covid-19 dengan menderma 1 juta Euro kepada sebuah pertubuhan perubatan di Barcelona untuk membeli peralatan perubatan pada bulan lalu. Guardiola turut muncul dalam klip video kesedaran meminta penyokong Manchester City duduk di rumah bagi memutuskan rantaian Covid-19 baru-baru ini.- CARI
|
ADVERTISEMENT