Masalah penglihatan bukan menjadi penghalang kepada pelajar dari keluarga petani ini untuk berjaya cemerlang dalam SPM. Malah, Jane Teng Siew Wei dari Bintangor, Sarikei ini terpaksa menggunakan kanta pembesar ketika belajar dek kerana masalah penglihatannya itu.
Bernama melaporkan, meskipun menghidapi masalah tersebut dari usianya 12 tahun, ia tidak menghalang gadis ini memperoleh keputusan 6A+, 2A dan 1A- bagi 10 mata pelajaran yang diambilnya. "Keputusan hari ini memang di luar dugaan saya. Saya bangga dengan pencapaian ini kerana dapat membuktikan walaupun dalam keadaan serba kekurangan, ia bukan alasan bagi saya untuk tidak berusaha dengan gigih," katanya yang cuma mensasarkan keputusan 6A sahaja sebelum ini.
"Saya perlu menggandakan usaha untuk belajar sendiri dan sering bertanya kepada guru jika ada perkara yang saya kurang faham, lagipun saya tidak boleh melihat dengan jelas apa yang ditulis di papan tulis semasa guru memberikan penerangan "Syukur, guru dan rakan sekelas amat memahami keadaan saya, mereka sangat membantu dan memberikan penerangan sekiranya saya memerlukan," katanya yang memeruntukkan sekurang-kurangnya lima jam sehari untuk belajar. Katanya lagi, pada awalnya dia cuma menyangka masalah mata itu adalah sekadar rabun biasa, namun ternyata ia merupakan tahap yang sangat serius. "Saya pernah menjalani pembedahan di kedua-dua mata namun masalah rabun itu masih berlaku. Pada mulanya sukar untuk diterima dan saya berasa sedih kerana memerlukan kanta pembesar untuk melihat dengan lebih jelas, namun saya akhirnya reda dengan keadaan saya yang begini," katanya lagi. - CARI
|
ADVERTISEMENT