Jitra: Kegiatan seorang wanita enam anak yang meraih RM15,000 sebulan hasil menjual daun ketum, terbongkar selepas ditahan polis di rumahnya di Kampung Pida 6 Lama, Kodiang di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, wanita berusia 37 tahun itu menjalankan kegiatan itu bersama suaminya sejak dua tahun lalu, dengan kebanyakan pelanggan adalah warga negara jiran.
Serbuan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu diketuai Inspektor Mohd Ridzuan Salleh ke rumah terbabit menemui 653 bungkus daun ketum seberat 98 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM2,000.
Dalam serbuan jam 1.20 pagi itu, suami wanita berkenaan tiada di rumah.
Difahamkan, lelaki berusia 40-an itu pernah ditahan polis atas kesalahan sama tahun lalu dan dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh mahkamah.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof, berkata sebuah pikap bernombor pendaftaran Thailand turut ditemui di tepi rumah suspek.
Siap bungkus
“Pemeriksaan dalam rumah menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar dan satu beg plastik hitam dipenuhi beberapa paket plastik lutsinar mengandungi daun ketum yang siap dibungkus.
“Kita juga menemui empat beg plastik hitam dan seguni plastik di hadapan pintu tepi rumah itu, semuanya berisi daun ketum siap dibungkus.
“Beberapa bungkusan plastik lutsinar mengandungi daun ketum turut ditemui dalam pikap terbabit, dipercayai untuk dihantar kepada pelanggan,” katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu di sini, semalam.