Perdana Menteri Interim, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dalam usaha membantu negara berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat penularan virus Covid-19 yang telah menjangkiti lebih 82,000 orang di seluruh dunia dan membunuh lebih 2,800 orang. "Saya percaya pakej rangsangan ekonomi akan membolehkan ekonomi Malaysia mencapai titik tinggi dalam julat. Dalam merumuskan pakej rangsangan, kerajaan melaksanakannya dengan berhemah berhubung dengan kedudukkan fiskalnya," katanya, memetik laporan Malaysiakini. Pakej rangsangan tersebut bernilai RM 20 billion, merumuskan beberapa langkah termasuk bantuan wang tunai dan insentif.
Antara langkah-langkah dalam pakej rangsangan adalah seperti berikut: 1) Bayaran one-off sebanyak RM 600 kepada para pemandu teksi, bas persiaran, pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar. 2) Elaun khas RM 400 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam menangani wabak Covid-19. 3) Bayaran RM 200 untuk kakitangan imigresen dan kakitangan barisan hadapan yang terlibat dalam membendung Covid-19 dari February 2020 sehingga wabak berkenaan berakhir. 4) Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sepatutnya diberikan pada Mei 2020 akan diawalkan iaitu pada Mac 2020. 5) Tambahan RM 100 kepada setiap penerima BHS akan dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan tambahan RM 50 akan disalurkan secara e-tunai. 6) Pelepasan cukai individu sehingga RM 1,000 untuk perbelanjaan pelancongan dalam negeri. 7) Baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM 100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen. 8) Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak 4 peratus iaitu daripada 11 peratus kepada 7 peratus berkuatkuasa sehingga akhir tahun. Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir juga mengucapkan terima kasih kepada petugas awam barisan hadapan di dalam memerangi wabak Covid-19 yang setakat ini telah menjangkiti 22 orang di Malaysia. "Saya ingin ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada para doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain di barisan hadapan yang bertungkus lumus melindungi Malaysia dari wabak Covid-19." "Penularan penyakit Covid-19 di Malaysia telah terkawal, dengan semakin ramai pesakit telah beransur pulih daripada penyakit ini," katanya. Diharapkan usaha murni kerajaan, melalui pakej rangsangan ekonomi ini berjaya merangsang pertumbuhan dan peruntukan yang diberikan mencukupi bagi menguruskan wabak Covid-19 dengan baik dan terkawal. - CARI Sumber: Malaysia Kini |
ADVERTISEMENT