Bergurau biar berpada. Buruk padahnya jika terlebih gurau. Itu yang berlaku kepada pelajar tingkatan satu yang patah tangan akibat terlalu galak bergurau dengan rakan. Harian Metro melaporkan, kejadian berlaku jam 8 malam pada Isnin di sebuah sekolah asrama di Kuala Terengganu dan tular sejak gambar Wan Danish Haikal Wan Mohd Rozlan, 13, dimuat naik di Facebook bapanya, semalam.
Mangsa bagaimanapun mengakui kejadian itu berpunca akibat kesalahannya sendiri yang ‘terlebih’ bergurau. “Saya mahu melompat daripada katil (bertingkat) tetapi gagal memaut rakan menyebabkan jatuh dan bertongkatkan tangan sendiri. “Hentakan kuat menyebabkan tangan kanan saya bengkok. Ia tak sakit tetapi saya takut melihat tangan bengkok seperti ular,” katanya. Sementara itu, bapanya, Wan Mohd Rozlan Wan Derahman, 34, menjelaskan tidak berniat menyalahkan mana-mana pihak apabila memuat naik gambar berkenaan di FB.
Jelasnya, dia berbuat demikian kerana mahu memberi kesedaran kepada kenalannya di media sosial supaya mengawasi dan menasihati anak masing-masing. “Malang tidak berbau, kecuaian boleh membawa padah. Oleh itu perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap perbuatan atau permainan,” katanya. Difahamkan, Wan Danish Haikal dibawa ke Hospital Setiu selepas diambil bapanya sejurus kejadian. Dia kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. - CARI
|
ADVERTISEMENT