PAKA - Hasrat dua sahabat yang juga rakan sekolej menghabiskan masa cuti sempena sambutan Aidiladha di kampung halaman tidak kesampaian apabila keduanya maut dalam kemalangan, dekat sini, petang kelmarin. Kemalangan kira-kira jam 5.30 petang di Kilometer 25 Jalan Paka-Al Mukhtafi Billah Shah itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dinaiki Hasmadi Zainordin, 30, dan rakannya Mohd Rizairie Mohd Rizan, 23, terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan. Ketika kejadian, dua sahabat itu yang merupakan penuntut jurusan keselamatan di Institut Marin dan Latihan Ronaco Kemaman dalam perjalanan pulang ke Kelantan. Hasmadi yang tersepit di tempat duduk pemandu dilaporkan cedera parah dan maut di tempat kejadian, manakala Rizairie meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Dungun. Rakan mangsa, Maisurah Nor, 19, berkata, sebelum kejadian, dua rakan kolejnya itu sempat menikmati sarapan pagi di sebuah warung makan berdekatan kolej mereka. Katanya, Allahyarham ketika itu banyak berdiam diri dan hanya melemparkan senyuman ketika rakan-rakan lain sedang asyik berbual. ''Tak sangka kedua-dua mereka akan menemui ajal, baru pagi tadi (kelmarin) kami bersama," katanya. Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut. Jenazah Hasmadi kemudian dibawa pulang ke kampungnya di Jelawat, Bachok, Kelantan, manakala jenazah Ruzairie dibawa pulang ke Machang, Kelantan. Pemandu Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan itu, Mohd Khairul Anuar Alias, 19, hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Dungun.
|
edee_91 posted on 12-10-2013 10:43 AM
sumber berita lain ade? yang ni lebih pada cerita kawan sedih baru pagi tadi makan bersama bla bla b ...
ADVERTISEMENT