Selain misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, persoalan membabitkan insiden rampasan pesawat MH653 yang berlaku pada 4 Disember 1977 masih belum dapat dirungkai sehingga kini. Memetik maklumat dalam laman Facebook Aviation Accidents / This Day in History, pesawat Boeing 737-2H6 itu berlepas pada pukul 7.21 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Ketika kapal terbang itu turun ke aras 4000 kaki menghampiri Kuala Lumpur, juruterbang melaporkan pesawat telah dirampas dan perampasnya mendesak penerbangan diteruskan ke Singapura. Tidak berapa lama kemudian, dilaporkan perampas menembak kedua-dua juruterbang sebelum menembak dirinya sendiri. Rakaman kotak hitam membayangkan kemungkinan perampas memecah masuk ke dalam kokpit dan seorang penyiasat membuat spekulasi tentang seorang individu cuba mengemudi pesawat selepas kedua-dua juruterbang dibunuh. Namun, usaha itu gagal dan menyebabkan pesawat menjunam secara mendadak sebelum terhempas ke dalam kawasan paya berhampiran Tanjung Kupang, Johor. Pesawat itu hancur manakala semua 93 penumpang dan tujuh kru pesawat MH653 terkorban dalam nahas udara paling buruk di Malaysia. Antara yang terbunuh ialah Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid dan Duta Besar Cuba ke Jepun, Mario Garca Inchustegui. Mereka dikebumikan di Memorial Tragedi Tanjung Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. Identiti dan motif perampas pesawat tersebut tidak diketahui dan masih menimbulkan tanda tanya sehingga hari ini. - CARI |
miszclassique: Dulu tahu pasal tragedi tanjung kupang ni pun dari novel waktu sekolah menengah...kesiannya mangsa
Ina8895 replied at 9-12-2019 02:28 PM
Apa tajuk novel tu?
ADVERTISEMENT