RM8,390 'terbang' gara-gara termakan kata-kata bomoh yang kononnya boleh menilik nasib. Menurut Bernama, mangsa yang juga pesara tentera berusia 44 tahun itu berkata, dia mengenali bomoh berkenaan yang mendakwa berstatus ‘Datuk’ menerusi laman sosial sekitar Jun lalu.
Difahamkan, mangsa terus menghantar pesanan WhatsApp sebaik melihat iklan perkhidmatan bomoh itu kerana tertarik dengan dakwaan bomoh terbabit yang kononnya boleh membantunya menilik nasib. “Bomoh itu juga dikatakan telah menawarkan diri untuk melakukan upacara sembahyang bagi pihak mangsa, jika tilikan itu mendapati mangsa tidak bernasib baik,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof. Pada 3 Jun lalu, bomoh itu meminta bayaran pertama sebanyak RM100 untuk melakukan upacara sembahyang berkenaan. Bagaimanapun, suspek kemudian meminta mangsa membayar sebanyak RM8,390 lagi selepas mendakwa wang itu (RM100) tidak cukup.
Mangsa mula curiga apabila bomoh itu tidak boleh dihubungi sejak beberapa hari lalu sebelum membuat laporan di balai polis Mentakab, Temerloh, semalam. Tambah Mohd Wazir, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - CARI
|
ADVERTISEMENT