Bagi yang mengikuti perkembangan filem tempatan dan luar negara pasti maklum bahawa negara serumpun Indonesia telah melancarkan filem adiwira mereka, Gundala pada 29 Ogos lepas. Filem ini diarahkan oleh pengarah terkemuka Joko Anwar, yang sebelum ini mengarahkan filem blokbuster, Pengabdi Setan dan Janji Joni.
Filem ini turut dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Abimana Aryasatya, Ario Bayu dan Tara Basro. Namun begitu, Joko Anwar telah memilih pelakon tempatan, Bront Palarae bagi memainkan watak antagonis utama, Pengkor. Dikatakan usaha Bront memainkan watak penjahat dalam filem ini begitu mendalam dan lakonannya begitu mantap. Fakta menarik; Gundala merupakan watak komik di Indonesia yang berjudul Gundala Putera Petir karya Harya Suraminata pada tahun 1969. Mendapat sambutan yang baik sejak dulu lagi, ia dibentuk menjadi sebuah filem adaptasi yang membawa genre superhero neo-noir. Ia berkisarkan Sancaka, seorang pemuda yang hidup di jalanan dan sering diabaikan. Sancaka disambar petir yang kuat, mengurniakan kuasa petir pada dirinya. Sejak itu, dia perlu memikirkan sama ada dia perlu teruskan hidup menjaga diri sendiri atau bangkit mempertahankan golongan-golongan yang tertindas. Filem Gundala merupakan satu-satunya wakil filem dari Asia Tenggara yang dimainkan di Midnight Madness, Toronto International Film Festival (TIFF) 2019, selari dengan filem-filem antarabangsa hebat seperti Joker dan Knives Out. Maklum balas yang diterima berkenaan filem tersebut amat baik dan positif dari media antarabangsa. Sambutan baik bagi filem ini menangkap perhatian para peminat filem di serata dunia, termasuklah di Malaysia sendiri. Rata-rata peminat filem di Malaysia tidak sabar menunggu kehadiran Sancaka di pawagam tempatan. Penantian kini berakhir, kerana Gundala akan mula dimainkan di Malaysia pada 7 November 2019. Gundala juga merupakan filem pertama, yakni permulaan kepada sesuatu yang lebih besar iaitu Jagat Sinema Bumilangit, iaitu dunia adiwira mereka sendiri. Jika di Hollywood ada Marvel Cinematic Universe (MCU) dan DC Extended Universe (DCEU), Indonesia sedang mengusahakan Bumilangit Cinematic Universe (BCU) berdasarkan tweet dari pengarah Gundala, Joko Anwar. Beliau telah mengesahkan filem-filem yang bakal dihasilkan oleh BCU selepas Gundala serta menyertakan barisan pelakon-pelakon yang bakal memainkan watak adiwira mereka. Senarai tersebut turut disertai nama-nama besar di Indonesia seperti Chelsea Islan, Joe Taslim, Dian Sastro, Asmara Abigail dan Nicholas Saputra. Filem pertama BCU, Gundala bakal diikuti Sri Asih selepas ini. Jadi, sama-sama kita tunggu November nanti. Korang rasa BCU ni boleh lawan Marvel ke agaknya nanti? - CARI
|
ADVERTISEMENT