Penyaman udara, pendingin hawa atau lebih sering disebut sebagai air-cond adalah mesin yang mengeluarkan udara secara tetap, biasanya di kawasan tertutup melalui kitaran penyejukan, di mana udara yang lebih hangat akan disingkir dan digantikan dengan udara yang lebih sejuk lembap. Namun, tahukah anda bahawa majoriti kajian yang dilakukan mendapati kesan buruk pendingin hawa sebenarnya jauh lebih berbahaya berbanding faedahnya? Menerusi perkongsian di laman web TheAsianParent, terdapat beberapa impak negatif penggunaan pendingin hawa. Ketika anda keluar dari bilik yang sejuk akibat penggunaan pendingin hawa dan beralih ke ruangan yang panas, ini akan menyebabkan kejutan kepada tubuh. Apabila tubuh tidak sempat menyesuaikan diri terharap perubahan suhu yang mendadak, ia boleh menyebabkan kelelahan dan merosakkan kulit.
Selain itu, masalah hidrasi boleh berlaku pada tubuh kerana pendingin hawa bukan sahaja menyerap kelembapan dalam bilik, tetapi juga menyerap kadar air dalam tubuh. Tidak hairanlah jika anda seringkali terbangun dari tidur kerana berasa haus, malah kulit juga akan menjadi lebih kering menyebabkan struktur kulit menjadi lemah, mata yang kurang kelembapan serta boleh menyebabkan kegatalan. Jika anda kerap berada di bilik yang berada pada suhu tidak optimal untuk tubuh, khususnya secara berpanjangan, anda akan kerap sakit di bahagian sendi dan otot. Sekiranya perkara ini dibiarkan, anda boleh mengalami sakit kepala, sakit punggung, malah radang sendi. Menurut Science Daily, walaupun anda berasa nyaman dan sejuk, pada kenyataannya aliran udara dari pendingin hawa boleh menyebabkan kualiti tidur anda terganggu. Kesan ini juga lebih kerap dirasakan oleh wanita dan orang yang lebih tua kerana memiliki tahap sensitiviti lebih tinggi terhadap udara sejuk. Menurut Environmental Protection Agency(EPA), anda sebenarnya lebih terdedah kepada pencemaran udara apabila berada dalam lingkungan penyaman udara berbanding di luar. Hal ini kerana pendingin hawa akan menyebabkan peredaran udara yang sama secara berulang-ulang. Akibatnya, kemungkinan besar udara telah tercemar dengan debu, bulu haiwan atau habuk, yang menyebabkan anda menjadi sakit kerananya. Kajian dari International Journal of Epidemiology menunjukkan individu yang berada di bilik yang berhawa dingin dalam tempoh yang panjang berisiko menghidapi masalah kesihatan seperti masalah kulit, pernafasan dan telinga, hidung, tekak. Di samping itu, suhu rendah menghalang tubuh untuk mencipta imun semula jadi kerana ketika tidur, tubuh akan menstimulasi dan menciptakan hormon penting untuk kekebalan tubuh. Namun, jika anda berada di ruangan yang terlalu sejuk, tubuh tidak akan dapat menghasilkan hormon tersebut dalam jumlah mencukupi menyebabkan badan sakit dan kemungkinan boleh menyebabkan asma kerana tidak mendapat udara segar. Udara yang bersih adalah udara yang dibiarkan masuk serta keluar secara semula jadi, bukannya udara yang datang daripada pendingin hawa, walaupun secanggih mana pun teknologi yang digembar-gemburkan pengeluarnya. Oleh itu, kurangkanlah tempoh penggunaan pendingin hawa atau menggantikannya dengan kipas angin biasa. Keluarlah dan hirup udara segar, bukan menghirup udara yang dikeluarkan mesin yang dikatakan lebih bersih dan segar. Semoga bermanfaat. - CARI |
ADVERTISEMENT