Seorang gadis ditahan selepas disyaki berbuat khianat terhadap kereta ibunya dengan memecahkan cermin dan memancitkan tayar pada Februari lalu, lapor BH Online. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim, gadis itu ditahan di Jalan Perik, Kuala Nerang semalam ketika Rondaan Cegah Kemalangan sempena Ops Selamat 15/2019 pada jam 12.45 tengah hari. “Ketika kejadian, Pasukan Pemantauan Ops Selamat Zon Utara diketuai Asisten Superintendan Meor Amir Meor Mohd Khalil sedang membuat rondaan dan melihat kereta berkenaan dipandu dalam keadaan mencurigakan," katanya. Difahamkan, gadis berusia 19 tahun itu pada mulanya disaman kerana tidak mempunyai lesen memandu. Bagaimanapun, selepas semakan dibuat, pelayan pusat hiburan di Alor Setar itu didapati mempunyai rekod ‘Orang Dikehendaki’ bersangkut kes Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
Katanya, laporan mengenai kes terbabit dibuat mangsa pada 25 Februari lalu. Gadis itu kemudian ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut. - CARI
|
ADVERTISEMENT