KUALA LUMPUR - Tempat letak kereta di ibu kota akan dikurangkan secara berperingkat bermula 2017 seiring dengan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan kerajaan, dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ia secara tidak langsung sebagai inisiatif menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di ibu negara sehingga menjadi satu budaya.
Menurutnya, perkara berkenaan telah dibincangkan di peringkat Pusat Setempat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (OSC DBKL) dan perbincangan lanjut juga akan dibuat bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha).
“Kita akan teliti kembali keperluan parkir dalam bandar berdasarkan nisbah penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan peribadi (40:60) yang yang ditetapkan sejak tahun 1970 lagi.
“Ketetapan ini akan diguna pakai sehingga 2016 dan apabila jajaran pertama My Rapid Transit (MRT) siap pada 2017, nisbahnya mungkin akan diubah secara berperingkat. Apa yang penting adalah memastikan pengangkutan awam disediakan dengan lengkap,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa ‘World Class Sustainable Cities’ (WCSC), semalam.
Persidangan kali kelima itu merupakan anjuran bersama Redha, Institut Perancang Malaysia (MIP) dan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM).
Ahmad Phesal menambah, perkara berkenaan turut mengambil kira bangunan dan kawasan seperti hotel, kawasan perdagangan dan kediaman.
“Sekiranya bangunan itu terletak kurang 200 meter dari stesen transit aliran ringan (LRT), kita akan kurangkan keperluan parkir,” katanya.
Dalam pada itu katanya, meskipun langkah berkenaan antara usaha mengurangkan kemasukan kenderaan dalam bandar, penelitian harus dilakukan secara menyeluruh agar bandaraya Kuala Lumpur terus ‘hidup’.
“Kita tidak mahu ibu kota menjadi ‘mati’ seperti mana pernah terjadi di beberapa bandar di luar negara, jadi kita perlu lihat secara keseluruhan bahawa pada masa kita mementingkan pengangkutan awam, kita mesti pastikan bandar kita sentiasa aktif pada waktu malam dan sebagainya,” katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|