Impian Meghan Markle untuk melahirkan anak sulungnya di rumah mungkin tidak kesampaian apabila kelahiran bayinya kini lewat seminggu. Memetik Daily Mail, doktor pada Ahad berkata, Duchess of Sussex itu mungkin akan dibawa ke hospital bagi proses gesaan bersalin (induce) jika tidak menunjukkan sebarang tanda hendak bersalin dalam masa 48 jam. Melihat perkembangan terkini Meghan, 37, tidak mustahil dia akan melahirkan di Hospital Frimley Park di Surrey, 24 kilometer dari Frogmore Cottage. Pakar obstetrik, Dr Spence-Jones dari Hospital Whittington di utara London berkata, kajian terbaru mendapati, wanita berusia 36 tahun dan ke atas harus mempertimbangkan proses gesaan bersalin kerana berdepan risiko tinggi jika lewat melahirkan. "Selepas menjalani proses itu, banyak campur tangan perubatan diperlukan. Jadi, kelahiran di rumah sangat tidak digalakkan selain ia menentang garis panduan negara," katanya. Difahamkan, Istana Buckingham akan membuat pengumuman sebaik isteri kepada Putera Harry itu mengalami proses kelahiran. Manakala, pengumuman kedua akan dibuat sebaik bayi berkenaan selamat dilahirkan, di mana saksi akan mendedahkan jantina, berat dan lokasi bayi berkenaan dilahirkan. - CARI
|
ADVERTISEMENT