Gaya bersahaja Artis Lawak Lelaki Paling Popular Anugerah Lawak Warna 2013 Jepp Sepah ketika beraksi bersama pasukan bola sepak All Stars berdepan pasukan Era FM mengundang ceria lebih 15,000 peminat yang menyaksikan perlawanan itu di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Melaka, baru-baru ini. Sebagai satu-satunya artis yang menganggotai pasukan terbabit, Jepp nyata tidak janggal beraksi bersama bekas pemain kebangsaan termasuk pemain legenda Datuk Soh Chin Aun berdepan lawan yang dibarisi selebriti tanah air seperti Black, Fiq, Waris, Ajak Shiro serta penyampai Era seperti Zahid, Adi dan Ray. Gelagat Jepp menyentuh bola dengan tangan dalam kawasan penalti seperti yang pernah dilakukan bekas bintang bola sepak Argentina, Diego Maradona dalam Piala Dunia di Mexico pada 1986 turut menggamatkan stadium. Malah, tindakannya itu turut membuatkan pelawak dengan nama sebenar Mohd Nadzri Zainal Abidin ini dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan. Jepp berkata, perlawanan anjuran stesen radio Era itu turut mengimbau kenangan ketika dia mewakili pasukan Johor dalam kejohanan Piala Nike ketika berusia 15 tahun. Jepp (enam kanan) bersama rakan sepasukan termasuk bekas penjaga gol kebangsaan, Azmi Mahmud (tiga dari kanan) dan Santokh Singh (kanan). “Waktu itu saya bercita-cita menjadi pemain kebangsaan. Namun, nampaknya rezeki saya bukan di situ,” katanya yang berasal dari Kluang, Johor. Katanya, diberi peluang bermain dengan bekas bintang bola sepak negara seperti Asmawi Bakiri, Nazzab Hidzan dan Azmi Mahmud serta dibimbing legenda bola sepak negara Santokh Singh nyata pengalaman paling manis buatnya selepas bergelar artis. “Selepas lebih enam tahun tidak bermain bola sepak, perlawanan ini benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal saya. Malah, pada mulanya saya agak gugup ketika memasuki padang tambahan melihat sokongan ribuan peminat yang hadir. Menurutnya, walaupun tewas 2-3, dia amat teruja dengan penganjuran berkenaan berikutan berkesempatan menemui peminat dari dekat selain membentuk gaya hidup sihat dan cergas. Pasukan Era FM di bawah yang dibimbing jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee turut diwakili pelakon Fiz Fairuz dan pemain Harimau Muda A, Irfan Fazail dan Tamil Arasu. Turut mencuri tumpuan penyanyi Soo Wincci yang menjadi wanita tunggal beraksi untuk pasukan berkenaan. Wincci yang turut diberi tugas sebagai penjaga gol ketika waktu rehat bagi membolehkan tiga peminat lelaki melakukan sepakan penalti untuk memenangi hadiah yang disediakan turut bertindak cemerlang menafikan sebarang gol. Sementara itu, pengurus rancangan Era FM, Nazri Noran berkata, perlawanan itu bertujuan merapatkan peminat dengan artis, bekas pemain dan stesen radio berkenaan. “Kita mahu menggabungkan muzik dan sukan seiring dengan pembangunan sosial masyarakat selain menyokong kepada cara dan gaya hidup sihat. “Aktiviti ini akan diteruskan pada masa akan datang dalam memastikan selebriti juga mementingkan penjagaan kesihatan,” katanya. Pada sebelah malamnya, peminat turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular antaranya Faizal Tahir dan Najwa Latiff.
|
miawpink posted on 21-9-2013 08:54 AM
tajuk di tukar
tapi isi dalam di biar kan
takut orang kompius pulak
fatehana posted on 21-9-2013 09:26 AM
akak ok jer klu jepp nk tukar jd jeff
sekrg ler nk tukar br org nampak sikit perubahannya
ADVERTISEMENT