View: 9390|Reply: 0
|
[Tempatan]
'MCA digesa bantu usaha tangani ketagihan arak' - Mujahid
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR: MCA digesa membantu menangani ketagihan arak yang serius dan parah dalam kalangan masyarakat sehingga mencetuskan pelbagai masalah termasuk kesihatan, keruntuhan rumah tangga, membahayakan keselamatan di jalan raya dan keganasan rumah tangga.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata ketagihan arak boleh menjejaskan kehidupan rakyat dan ia perlu ditangani sebaiknya dalam usaha membentuk masyarakat harmoni, sekali gus mengelak kejadian tidak diingini.
Beliau berkata, tindakan itu lebih penting berbanding meraih sokongan politik dalam persaingan segmen pengundi dengan mempolitikkan isu penjualan arak.
"Sebenarnya, banyak lagi isu lain, selain isu larangan penjualan arak yang boleh dikritik MCA untuk membangunkan Perak di bawah dasar Perak Sejahtera 2030.
"Sebagai parti komponen Kerajaan Perpaduan, MCA patut menyatukan rakyat berbagai kaum dan agama di Perak melalui nilai politik inklusif dan progresif serta memahami sensitiviti semua kaum dan agama selaras prinsip menjunjung kedaulatan undang-undang," katanya.
Media sebelum ini melaporkan MCA Perak mengecam pemimpin kerajaan negeri berhubung peluasan sekatan jualan arak di Ipoh dan mempersoalkan penafian dibuat DAP dan PKR berkaitan perkara itu.
Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung, mendakwa seorang ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) daripada DAP dan EXCO kerajaan negeri daripada PKR, Sandrea Ng memaklumkan belum ada sebarang keputusan berkaitan sekatan itu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dalam laporan BH sebelum ini berkata, larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan majoriti penduduk Melayu beragama Islam di pentadbiran MBI dijangka diperluaskan ke beberapa kawasan lain.
Beliau berkata, ini berikutan ada beberapa cadangan dan tuntutan dikemukakan beberapa pihak berhubung perkara itu, namun kelulusan cadangan itu bergantung kepada jumlah tuntutan disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan.
Mujahid berkata, MCA Perak tidak perlu mempolitikkan isu penjualan arak ini semata-mata untuk meraih sentimen sokongan masyarakat bukan Melayu dalam persaingan politik terutama untuk berdepan dengan pengaruh DAP.
"Sepatutnya MCA bersaing secara sihat untuk meraih sokongan, bukan dengan mengeksploitasi isu sensitif seperti penjualan arak ini," katanya.
Mujahid berkata, larangan jualan arak di kawasan majoriti Melayu, khususnya dalam daerah gugusan Manjoi sudah ditetapkan sejak tahun 2020 dan 2021 lagi.
"Ketetapan MBI itu diambil atas desakan majoriti orang Islam dan mengambil kira sensitiviti pengharaman arak mengikut prinsip ajaran Islam.
"Larangan jualan arak dalam premis di bawah kuasa MBI ini jika hendak dilaksanakan di luar kawasan yang diputuskan, akan dibincangkan dengan diteliti, sebelum dikuatkuasakan dengan mengambil kira pandangan menyeluruh masyarakat setempat.
"Malah, perkara ini jelas disebut Rumaizi sebelum ini," katanya.
Susulan itu, Mujahid berkata, MCA tidak perlu memutarbelitkan kenyataan ini atau membesar-besarkannya bagi memenuhi kepentingan politik mereka.
Sumber : - Berita Harian
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|