JIKA sebelum ini, dia berjaya mengekalkan imej bersih dan menjadi idola kanak-kanak, namun kini tidak lagi. Bukan sahaja tampil dengan imej baru berambut pendek, malah beberapa kontroversi lain turut tercetus setelah bintang Hannah Montana ini dikatakan patah hati dengan kecurangan tunangnya, Liam Hemsworth. Semakin berani menggayakan pakaian seksi, Miley Cyrus, dikecam peminat gara-gara penampilan beraninya di pentas Anugerah Muzik Video MTV. Selain berpakaian seksi, Cyrus juga turut beraksi lucah dengan penyanyi duetnya, Robin Thicke, ketika menyampaikan lagu Thicke, Blurred Lines. Miley Cyrus, Liam Hemsworth Bersedia menerima kritikan dan cemuhan peminat, pemilik nama sebenar, Destiny Hope Cyrus, 20, tidak cepat melatah, malah dia turut mengakui perubahan itu tiada kaitan dengan hubungannya yang kecundang. "Ini adalah diri saya yang sebenar. Apatah lagi, saya bukan lagi di usia 16 atau 18 tahun. Saya mahu peminat melihat sisi lain saya. "Saya tak peduli dengan apa-apa kritikan yang bakal muncul kerana saya sudah bersedia dengan semua itu. "Saya tidak percaya, perkara sebegini boleh membunuh peminat yang selama ini menyokong, begitu juga dengan imej Hannah Montana yang selama ini sinonim dengan saya," katanya. Akui Cyrus lagi, dia tahu ramai di kalangan peminat kurang berkenan dengan imej rambut pendek yang digayakannya itu. "Imej ini hanyalah untuk sementara waktu sahaja kerana saya hanya ingin mencuba sesuatu yang belum pernah saya buat. "Setiap malam saya tertanya-tanya, bila rambut saya akan panjang semula, malah saya juga turut mengambil vitamin dan suplemen untuk memastikan rambut saya cepat tumbuh dan panjang. "Sejujurnya, ia tiada kena mengena dengan soal peribadi. Saya tidak sangka, imej ini mendatangkan mimpi ngeri buat saya,” kata pelantun lagu, The Climb ini. Berbogel dalam video? Tidak terhenti di situ sahaja, Cyrus kembali menghangatkan atmosfera hiburan ekoran tindakannya yang berbogel menerusi muzik video terbarunya, Wrecking Ball. Video yang baru sahaja dimuat naik di laman, YouTube ini mendapat kritikan hebat, malah ramai menganggap bintang ini seakan terdesak mahu membuang imej gadis baik di zaman Hannah Montana. "Di sana sini, orang memperkatakan mengenai saya. Jadi, ia membuatkan saya semakin lali. Di usia 20 tahun, saya ingin mencuba itu dan ini. Jadi, ini adalah percubaan saya dan saya terima semua kritikan yang dilemparkan. "Saya tidak kisah apa yang orang kata mengenai saya, malah ia adalah satu pengalaman baru bagi saya dalam mengenal kehidupan di usia ini. "Saya turut berterima kasih kepada yang membenci kerana tetap menonton video saya di YouTube," katanya yang dikatakan turut terlibat dalam pengambilan dadah dan ganja. Walaupun mendapat banyak kritikan, video yang dimuat naik pada Isnin lalu, meraih lebih daripada 38 juta tontonan. Malah, video yang berdurasi 3.42 minit itu dikatakan adalah luahan Cyrus mengenai hubungannya bersama Hemsworth. Pun begitu, hubungannya bersama tunang masih menjadi tanda tanya. Menurut laporan portal antarabangsa, Hemsworth telah memutuskan hubungan itu kerana tidak tahan dengan sikap Cyrus yang 'gila-gila', dan gemar berparti liar. Namun, sehingga ke hari ini, masih tiada kata putus mengenai hubungannya itu. Baik Hemsworth mahupun Cyrus, masing-masing memilih untuk berdiam diri tanpa memberikan sebarang penjelasan.
|
missyqaldina posted on 17-9-2013 03:03 PM
td dgr brita ckp da cnfirm clash..
die ni trdesak sgt la..
mcm nak tiru pink jee..
ADVERTISEMENT