SETELAH beberapa tahun sepi dalam industri hiburan tempatan, kini bekas penyanyi kumpulan Elite, Sasha Saidin dilihat mula bergerak aktif dengan membintangi beberapa drama. Menemuinya di program berbuka puasa anjuran program TV9 baru-baru ini, Sasha memberitahu, walaupun sudah lama tidak muncul di mana-mana kaca televisyen bukanlah menandakan dia akan terus meninggalkan industri ini. Menurutnya, sibuk menguruskan hal peribadi adalah antara salah satu faktor mengapa dia terpaksa meninggalkan aktiviti seni buat sementara waktu. "Memang sebelum ini saya sibuk uruskan anak dan tunggu kes penceraian saya reda. Tambahan pula saya bukan jenis yang suka ambil pembantu rumah untuk uruskan anak, sebab itu saya memang sibuk. "Sekarang ini kalau saya ada kerja, mak saya yang akan bantu jaga anak saya. Tentang hak penjagaan pula tak ada masalah sebab dari dulu Arya memang dengan saya,” jelasnya. Tambah Sasha, sejak kebelakangan ini, dia mula aktif dalam bidang lakonan memandangkan semuanya telah reda. "Selain kembali aktif dalam bidang lakonan, saya turut kembali buat bidang peragaan. Terbaru saya ada ikuti majlis peragaan Islamic Fashion Festival. "Saya pun baru balik dari Sydney mengikuti rombongan Yans Creation, butik yang banyak bekerja dengan saya," katanya. Dalam perkembangan lain, Sasha memberitahu, dia bakal memeriahkan kehangatan program raya TV9 menerusi drama Mimpi Fara yang akan disiarkan pada raya ketiga ini. Belum serik Menyentuh mengenai kegagalan rumah tangganya sebelum ini, Sasha menafikan dirinya akan serik untuk kembali bercinta dan berkeluarga. Menurutnya, apa yang berlaku sebelum ini adalah ketentuan daripada tuhan yang tidak boleh dielakkan. "Bagi saya, dalam dunia ini cuma ada dua perkara yang memang kita tidak boleh kawal iaitu jodoh dan ajal. Sekiranya selepas ini saya dijodohkan dengan lelaki lain, saya terima. "Saya memang teringin nak kahwin sebab saya rindu nak dapat anak. Rindu nak pegang bayi dan bermanja dengannya. Kalau ada rezeki, saya nak anak perempuan,” ujarnya. Ditanya ciri-ciri lelaki yang diminati, Sasha memberitahu, dia mahu seorang lelaki yang punyai pengetahuan agama yang cukup supaya dapat membimbing dirinya. "Bila cakap lelaki yang beriman bukan maksudnya ustaz ataupun guru agama. Kadang-kadang luaran nampak biasa, tapi di dalam itu yang penting. "Dia juga kenalah rajin dan kalau boleh, Sasha nak lelaki yang tinggi dan nampak matang," katanya sambil tersenyum. Perkahwinan sebelum ini Sasha sebelum ini pernah berkahwin dengan Salyo Priyanto pada 2007. Namun, rumah tangga yang dibina selama lima tahun berakhir dengan perceraian pada 10 Julai 2012. Mereka dikurniakan seorang bayi lelaki iaitu Arya yang kini berusia empat tahun.
|
ADVERTISEMENT