Anggota Jabatan Pertahanan Awam memberi bantuan kecemasan kepada mangsa yang separuh sedar selepas melarikan diri dari satu pergaduhan. MENGLEMBU – Seorang lelaki hampir maut dibelasah sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan rantai dan batang besi di sebuah padang di Taman Kledang Sentosa di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 33 tahun berjaya melarikan diri dari kumpulan terbabit sebelum ditemui pengsan oleh pasukan Persatuan Komuniti Rakan Cop Perak yang membuat rondaan di kawasan terbabit. Sukarelawan yang dikenali Ah Woo berkata, mereka menemui mangsa menjerit kesakitan ketika terbaring di hadapan sebuah rumah selepas dibelasah kumpulan lelaki itu. “Saya menerima panggilan yang memberitahu ada sekumpulan lelaki bergaduh semasa sendiri ketika mabuk di padang awam berhampiran dan menyebabkan seorang lelaki cedera. “Ketika sampai, terdapat seorang lelaki terbaring. Kami bertindak menghubungi polis dan ambulan sebelum mangsa yang separuh sedar itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa dipercayai bergaduh semasa sendiri ketika mabuk hanya mengalami kecederaan di bahagian kaki. “Tiada kesan darah ditemui dan punca kejadian merusuh masih belum diperolehi. Malah, tiada kerosakan harta benda awam berlaku di tempat kejadian. “Hasil siasatan mendapati terdapat satu rantai besi di bahagian raga motosikal mangsa dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
|
ADVERTISEMENT