|
Melaka: "Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri," kata Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi kenyataan di laman media sosialnya, hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas beliau dikatakan menerima banyak kritikan dan tekanan ekoran usahanya untuk mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN) menerusi gabungan UMNO dan PAS, selain desakan supaya partinya keluar daripada gabungan Kerajaan Perpaduan. Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau sudah melakukan usaha serta menyampaikan hasrat sehabis baik tetapi dipandang sepi oleh pihak lain. "Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik, mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. "Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri. Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini. "Saya percaya jika niat kita baik demi agama, bangsa dan tanah air, insya-Allah waktunya akan sampai jua," katanya. Bagaimanapun, tidak dinyatakan secara tepat jawatan yang akan ditinggalkan beliau kerana selain Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal turut menjawat jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Jasin. Pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Sabtu lalu, Dr Muhamad Akmal membuat gesaan supaya UMNO keluar Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang, dengan mendakwa berlaku pelanggaran berulang 'garis merah' membabitkan isu 3R iaitu berkaitan kaum, agama dan raja. Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, parti itu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran. Wujud spekulasi kemungkinan suara akar umbi yang dibawa dalam konvensyen berkenaan tidak didengari oleh pucuk kepemimpinan parti menyebabkan Dr Muhamad Akmal kecewa. Usaha menghubungi beliau untuk mendapatkan penjelasan gagal kerana beliau kini berada di China atas urusan keluarga. Sumber : Harian Metro
|


plywood: Tolonglah kerajaan jgn runtuh sekrang... bodoh gila, politik ni boleh hancurkan banyak bendalah... nilai duit baru beberpa tahun perlahan-lahan naik, ...
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
12-2-2026 06:06 PM GMT+8 , Processed in 0.072854 second(s), 34 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.