|
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN), terutama daripada UMNO, membidas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, berhubung kenyataannya berkait Datuk Seri Najib Razak yang kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri itu bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah. Ia membabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang disabitkan ke atas Najib yang juga bekas Presiden UMNO. Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong, kemudian memuat naik hantaran berbunyi: 'Another reason to celebrate this year end' (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) yang dipaparkan bersama pautan berita sebuah portal bertajuk 'No house arrest for Najib' (tiada tahanan rumah untuk Najib). Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, membuat keputusan berkenaan setelah berpuas hati bahawa isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang mahupun diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu. Yee Ching juga memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini. Berikutan itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mempersoalkan tindakan Bee Yin mengeluarkan kenyataan sedemikian yang seolah-olah bergembira atas penderitaan Najib. "Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain. "Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah, pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan," katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini. Ketua Pemuda BN dan UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, turut berang dengan kenyataan Bee Yin itu. Malah, beliau menggesa supaya UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan, dengan menjadi pembangkang bermaruah daripada dihina rakan sekutu. "Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik sajalah sokongan daripada kerajaan ini. "Biar kita menjadi pembangkang yang bermaruah, daripada dihina oleh puak-puak bebal ini," katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini. Sementara itu di Jelebu, Ahli Parlimennya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menyifatkan kenyataan Bee Yin berkenaan sebagai sangat tidak wajar dan biadab. Jalaluddin yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan menegaskan Bee Yin sepatutnya menunjukkan sikap matang dan bukan sifat dendam. "Keadilan adalah proses perundangan yang serius, bukan bahan untuk berpesta atau menyindir penerima hukuman atau penyokongnya. "Dua perkara - pertama, kurang empati. Menghina atau bersorak atas nasib malang seseorang adalah tidak selari dengan aspirasi MADANI yang parti dia sendiri berpegang. "Kedua, polarisasi. Kenyataan sinis sebegini hanya memecahbelahkan rakyat dan menggugat usaha perpaduan nasional, sedangkan sebagai Ahli Dewan Rakyat, dia sendiri menyeru rakyat agar jangan berpecah belah, tetapi dia...? "Shut up (diam)!" katanya dalam satu kenyataan sambil menekankan bahawa politik kebencian harus dihentikan, sekali gus memfokus kepada khidmat rakyat dan bukan meraikan kejatuhan manusia lain. Sumber – Berita Harian
|
saliv replied at 23-12-2025 12:51 AM
Dia ni anak apek Jackie Chan ke? Muka sama.
saliv replied at 23-12-2025 12:51 AM
Dia ni anak apek Jackie Chan ke? Muka sama.

sam1528 replied at 23-12-2025 09:24 AM
MP DAP tu pon ... pada2 lah
The english has a saying 'dont kick a man when he is down'
sam1528 replied at 23-12-2025 09:24 AM
MP DAP tu pon ... pada2 lah
The english has a saying 'dont kick a man when he is down'


stingerkaypoh replied at 23-12-2025 10:35 PM
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
16-2-2026 10:30 AM GMT+8 , Processed in 0.291190 second(s), 36 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.