|
Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur segelintir bekas pemainnya yang kini 'hidup susah' selepas tidak menerima gaji dengan kelab yang diwakili ketika ini. Jelas Tunku Ismail, beliau sudah lama menasihatkan agar tidak terburu-buru meninggalkan JDT sama ada secara pinjaman atau sebaliknya semata-mata ingin mencari minit permainan seperti mana yang diinginkan penyokong. "Dah bertahun cakap. Apa sahaja yang saya cakap yang diperlekehkan semua jadi kenyataan. Dulu masa gaji stabil, menang piala, tempat latihan bagus dan main kejohanan antarabangsa, cari penyakit dengar cakap penyokong. "Yang menasihat tiada dalam industri bola sepak, tetapi bersuara macam seolah-olah lebih tahu pasal bola sepak dan berpengalaman dalam arena bola sepak.
"Kononnya dinasihat untuk keluar dari JDT untuk dapat minit permainan. Akhirnya gaji tak dapat, tempat latihan tak seberapa, main pun jarang, piala tiada dan main pertandingan antarabangsa pun tiada. "Sekurang-kurangnya di JDT walaupun minit kurang, boleh bersara sebagai juara, pengalaman luas dan kewangan pun stabil," katanya di laman sosial miliknya, hari ini. Walaupun Tunku Ismail tidak menyatakan siapakah pemain yang dimaksudnya, namun rata-rata peminat sudah boleh meneka kemungkinan sindiran itu ditujukan kepada penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad. Ia susulan selepas tularnya semalam gambar kediaman Syafiq yang sedang memunggah barang-barang untuk dimasukkan ke dalam lori, di mana dia dikatakan berpindah rumah dan kemungkinan menyertai pasukan lain musim depan ekoran masalah kewangan kronik dihadapi KDA FC ketika ini. Gambar berkenaan mengundang pelbagai reaksi penyokong yang meminta Syafiq bersabar dengan dugaan dihadapi dan berharap episod malangnya itu berakhir apabila menyertai pasukan baharu musim depan. Tambah Tunku Ismail lagi, beliau mengingatkan agar proses pinjaman pemain, biarlah diuruskan pihak kelab yang lebih mengetahui mana yang terbaik untuk seseorang pemain itu. "Yang dinasihat keluar negara pula hanya setakat dapat pengalaman, gaji tak seberapa dan performance pun tak seberapa, rosak. "Apabila bersara terpaksa kais sana sini. Seorang demi seorang jadi mangsa dengar cakap orang. Kalau nak loan pun biar kelab bantu, jadi gaji tak jadi isu. Bukan buat sendiri semata-mata dengar cakap orang," katanya. - Harian Metro |