SEJAK terpalit dengan kontroversi mempersenda agama lain, penyampai radio Azad Jasmin lebih banyak mendiamkan diri berbanding kebiasaan.
Isteri Azad yang juga pelakon Eira Syazira, 41, bagaimanapun berkata, suaminya itu berada dalam keadaan baik dan meminta peminat tidak bimbang dengan keadaannya.
Sebaliknya Eira percaya suaminya insan terpilih sehingga perlu berdepan ujian berat pada bulan mulia.
"Jangan risau, Pak Azad baik-baik sahaja. Kalian semua doakan sahaja.
"Saya minta dia sabar, tenang dan responsnya hanya diam. Jangan lama-lama berduka lara sebab Allah ada.
"Tak mengapa, lagi orang caci maki dan hina, lebih banyak barakah yang dapat pada bulan Ramadan ini. Orang terpilih sahaja Allah uji untuk menghadapi ujian sebegini," katanya.
Eira berkongsi perkara itu menerusi siaran langsung di TikTok miliknya pada Khamis.
Dalam pada itu, Eira mendedahkan dia dan anak-anak turut terkena tempias dengan kontroversi membabitkan Azad.
Bagaimanapun kata Eira, dia kekal tenang kerana yakin berada di pihak benar selain percaya Allah SWT sentiasa ada bersama mereka.
"Saya dan anak-anak juga terpalit sama, agama kami dihina tapi saya membalas dengan emoji hati.
"Saya tak marah mereka sebab saya tak bersalah... Hanya senyum dan ucap Alhamdulillah semuanya tenang sahaja," katanya lagi.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-rata turut bersimpati dengan nasib tiga penyampai berkenaan.
Malah pengikut berbangsa India turut memaklumkan menerima permohonan maaf secara terbuka yang dilakukan tiga penyampai itu.
Pada Rabu, Azad bersama dua lagi penyampai segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad dan Radin dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan susulan penularan video mendakwa mereka mempersenda upacara agama lain.
Pihak Astro Audio pula dalam tindakan segera merehatkan ketiga-tiga penyampai radio tersebut sehingga siasatan kes selesai.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio iaitu pengendali stesen radio Era FM dan diberi tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas.
Susulan itu, pihak Astro Audio mengambil maklum berhubung kenyataan dikeluarkan SKMM dan akan memberikan kerjasama penuh dan akan menyediakan maklum balas seperti diminta.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|