![]() Keberhasilan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Liga Super sekali lagi menyaksikan pasukan-pasukan lain terpaksa menerima hakikat bahawa mereka masih gagal merampas gelaran domestik tertinggi negara ini, dengan JDT mengekalkan penguasaannya untuk tahun ke-11 berturut-turut. Dominasi JDT dalam kancah bola sepak tempatan semakin sukar untuk digugat. Kejayaan mereka menjuarai Liga Super musim ini tercipta selepas kemenangan 2-0 ke atas Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Isnin. Walaupun terdapat empat perlawanan lagi sebelum saingan liga berakhir, ia tidak menghalang skuad Harimau Selatan untuk merangkul kejuaraan lebih awal, tanpa cabaran serius daripada pasukan lain. Ini bukan kali pertama JDT menamatkan saingan liga lebih awal, dengan rekod yang sama pernah tercatat pada tahun 2016, 2017, 2018, 2019, dan 2022. Kejayaan ini jelas menunjukkan keunggulan Harimau Selatan di pentas domestik, serta kemampuan mereka untuk merangkul kejuaraan dalam pelbagai pertandingan seperti Piala Sumbangsih, Piala FA, dan Piala Malaysia. Lantaran itu, persoalan tentang sampai bila dominasi JDT akan bertahan dan sama ada ada pasukan lain yang mampu mencabar mereka terus berlegar. Jawapan kepada persoalan ini sudah sering diberikan, baik oleh pemerhati sukan mahupun peminat bola sepak, yang hampir pasti meramalkan bahawa penguasaan JDT akan berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh yang panjang. Tiada alasan lain bagi pasukan-pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) selain mencari cara untuk menumbangkan 'keegoan' JDT, dan membuka peluang bagi Liga Super melahirkan juara baharu. Walaupun kekuatan kewangan menjadi antara faktor utama yang membantu JDT mengekalkan dominasi, terdapat beberapa elemen yang boleh dicontohi oleh pasukan lain, terutamanya dalam membentuk pengurusan kelab yang profesional, memiliki strategi jangka panjang, serta fokus yang bukan hanya pada satu musim sahaja. Pasukan-pasukan perlu berusaha gigih menarik tajaan lumayan dan membelanjakan setiap ringgit dengan bijak. Selain itu, mendapatkan pemain-pemain berkualiti tinggi dan barisan pengurusan yang terbaik adalah amat penting. Melihat kepada beberapa pasukan dalam Liga Super, seperti Selangor, yang memiliki kewangan kukuh, namun masih belum mampu mencabar JDT, usaha mereka untuk menyaingi Harimau Selatan pasti akan mengambil masa. Namun, usaha tersebut perlu diiringi dengan penambahbaikan dalam struktur pasukan serta pembangunan DNA bola sepak yang serupa dengan apa yang dilakukan oleh JDT. Meskipun JDT terus mendominasi, kita berharap agar pasukan lain akan terus berusaha memperbaiki segala kelemahan mereka dan bergerak ke hadapan untuk mencabar penguasaan JDT pada masa hadapan. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT