KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di kedudukan ke-36 dalam Global Soft Power Index 2025, dengan skor 46.1 daripada 100, menurut laporan oleh perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance. Kedudukan terbaru ini mencerminkan kemajuan Malaysia dalam aspek penting seperti Rakyat dan Nilai, Tadbir Urus, serta Pendidikan dan Sains, yang sekaligus meningkatkan pengaruh negara di peringkat global. Satu lagi pencapaian penting adalah peningkatan kedudukan Malaysia ke tempat ke-12 dalam atribut Future Growth Potential, melonjak tujuh anak tangga berbanding tahun sebelumnya. Kenaikan ini didorong oleh prospek ekonomi yang positif dan peranan negara yang semakin berkembang dalam perniagaan serta perdagangan global. Malaysia juga mencatatkan peningkatan signifikan dalam tonggak Rakyat dan Nilai, yang naik tujuh anak tangga ke kedudukan ke-32.
Selain itu, dalam kategori Rakyat Mesra, Malaysia meningkat sebanyak 11 anak tangga ke kedudukan ke-25. Ini menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap keramahan dan layanan mesra rakyat Malaysia. Reputasi negara dalam aspek kebolehpercayaan turut mencatatkan peningkatan, kini berada di kedudukan ke-30 di peringkat global. Alex Haigh, Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik, berkata peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks ini menunjukkan status negara yang semakin berkembang sebagai negara berpengaruh di arena antarabangsa. "Keberhasilan yang signifikan negara dalam tonggak penting seperti Tadbir Urus dan Pendidikan dan Sains menggambarkan penjajaran strategik Malaysia dengan perubahan ekonomi dan geopolitik dunia," katanya dalam kenyataan hari ini. Haigh menambah bahawa dengan komitmen terhadap tadbir urus yang telus, peningkatan piawaian etika, dan sistem pendidikan yang lebih kukuh, Malaysia kini berada pada kedudukan yang semakin kukuh sebagai hab inovasi dan pertumbuhan jangka panjang di pentas global. Dalam aspek tadbir urus, Malaysia menduduki tempat ke-35, mencatatkan peningkatan dalam atribut High Ethical Standards and Low Corruption, di tangga ke-29. Sumber : Berita Harian Peningkatan ini menggambarkan komitmen negara untuk memperkukuhkan amalan tadbir urus yang telus dan beretika, walaupun dalam menghadapi cabaran global. Sementara itu, sistem pendidikan Malaysia juga mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan, naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-30, mengukuhkan usaha negara dalam memperbaiki infrastruktur pendidikan dan kecemerlangan akademik. Global Soft Power Index disusun oleh Brand Finance berdasarkan maklum balas lebih daripada 170,000 peserta dari lebih 100 negara. Indeks ini menilai persepsi 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui 55 metrik yang berbeza, menyediakan penanda aras untuk menilai pengaruh negara berdasarkan daya tarikan dan keyakinan, berbanding paksaan. |
ADVERTISEMENT