Langkawi: Lelaki warga emas yang baru keluar lokap Jumaat lalu selepas ditahan atas kesalahan dadah, ditahan sekali lagi semalam kerana kesalahan sama.
Lelaki berusia 69 tahun itu ditahan pegawai penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, dalam operasi Op Perdana di kawasan 'port' dadah di Bukit Malut.
Ditahan pada 7 pagi itu, warga emas yang berkopiah itu mendakwa dia baru pulang menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran, sebelum datang ke kawasan port itu untuk mendapatkan bekalan bagi melepaskan gian.
"Pak cik baru keluar lokap Jumaat lalu dan tinggal masjid di sekitar pulau ini sebagai tempat persinggahan.
"Hari ni (ini) pak cik mai (datang) nak amik sikit (dadah) sebab tak tahan walaupun pak cik dah niat nak banyak buat ibadah, tapi tak boleh sebab kalau tak ambil heroin, air mata akan berlinang sendiri," katanya ketika ditemui di port penagihan dadah di Bukit Malut, di sini semalam.
Menurut warga emas itu, dia sudah lama terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak 20 tahun lalu dan pernah direman di bawah pengawasan AADK, dua tahun lalu.
Datuk yang sudah mempunyai empat anak dan enam cucu itu berkata, dia kini hidup sebarang kara selepas berpisah dengan isterinya akibat angkara dadah.
"Pak cik simpan azam tahun baru nak berhenti menagih dadah sebab dah tua. Lagi pula minggu depan nak sambut Ramadan, pak cik ingat nak banyak mengaji al-Quran dan solat di masjid.
"Tapi kalau tak dapat dadah, pak cik hidup tak tenteram, kena ambil juga la cuma tak tau macam mana nak berhenti terus," katanya.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 20-an yang ditahan di kawasan Bukit Malut itu terkejut apabila ibunya yang berusia 58 tahun datang ke tempat 'port' dadah itu selepas mengetahui dia ditahan.
"Mak cik tak tahu langsung dia ambil dadah, baru hari ini mak cik tahu dia hisap dadah bila orang beritahu dia kena tangkap.
"Mak cik mai (datang) sini nak tengok dia, memang tak sangkalah dia hisap dadah," katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan, AADK menggempur kawasan Bukit Malut dan menahan lebih 80 individu disyaki penagih dadah.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|