ROMPIN – Seorang penduduk Kampung Simpang Sepayang di sini kecewa apabila rumah mesra rakyat dipohonnya daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bukan sahaja tidak siap, malah terbengkalai hingga kini. Penduduk terbabit, Mohd Faizal Saidin, 33, berkata, dia sekeluarga yang sebelum ini tinggal di rumah sewa, bersyukur apabila permohonan mereka diluluskan SPNB. Menurutnya, rumah itu mula dibina pada Ogos tahun lalu dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah emaknya, sementara menanti rumah itu siap sepenuhnya. Bagaimanapun katanya, dia tidak menyangka rumah itu masih tidak siap dan terus terbengkalai hingga kini. “Saya tidak kisah jika rumah itu lambat siap asalkan saya sekeluarga boleh duduk di rumah baru. Tetapi apa yang membuatkan saya marah dan kecewa apabila pembinaan rumah itu terbengkalai. “Dua adik saya sudah menjalankan majlis perkahwinan mereka, tetapi rumah itu masih tidak siap. Bukan itu sahaja, saya juga kecewa apabila mendapati binaan rumah tersebut juga tidak sempurna,” katanya. Mohd Faizal berkata, dia juga sudah banyak kali menghubungi SPNB Kuantan untuk bertanya mengenai masalah itu, namun kecewa apabila menerima maklum balas kurang memuaskan. “Saya juga ada menghubungi SPNB di Kuala Lumpur, namun tidak dapat bercakap dengan pegawai. Sebaliknya, pihak berkenaan menyuruh saya merujuk SPNB Kuantan pula. Sudah banyak wang saya habis untuk ini. “SPNB tidak sepatutnya mengambil kontraktor begini kerana akhirnya memberi imej buruk kepada SPNB sendiri termasuk kerajaan. Jika saya orang berkemampuan, saya tentu beli rumah di taman perumahan,” katanya.
|
ADVERTISEMENT