![]()
Metro UK melaporkan, Kendall Bryce, 25, menghidap 'urtikaria akuagenik' iaitu penyakit jarang jumpa yang menyebabkan kulitnya membengkak naik ruam apabila bersentuhan dengan air. Ibu seorang anak dari Durham yang kini hamil cahaya mata kedua itu berkata, dia mengalami kesakitan setiap kali cuba mencuci tangan atau membersihkan badannya. Keadaan itu juga dipengaruhi oleh air hujan dan hari yang sangat lembap dan ia bermakna hidupnya ditentukan oleh cuaca. Difahamkan, satu daripada 2.3 juta individu di dunia mempunyai alahan berkenaan. Setakat ini, doktor belum dapat mencari sebarang ubat yang berkesan untuk Kendall dan ia menyebabkan wanita itu terpaksa meneruskan hidupnya dalam kesakitan. "Ia benar-benar perjuangan harian saya. Saya hanya boleh mandi dua kali seminggu kerana kesakitan yang amat sangat namun saya jadi bimbang jika badan berbau busuk. "Hidup saya ditentukan oleh cuaca kerana saya perlu mengelak hujan dan juga hari panas lembap. Saya perlu lihat ramalan cuaca setiap hari dan tinggal di rumah jika hujan atau akan hujan. "Tapi jika saya terkejut, badan saya bertindak balas dan ia sangat menyakitkan. Saya tidak pernah dapat memandikan anak lelaki saya yang berumur setahun. "Ibu saya perlu melakukannya untuk saya. Tekak saya juga berasa terbakar apabila minum air," katanya. Kendall berkata, penyakitnya semakin teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini. "Saya akan mengalami kesakitan selama kira-kira setengah jam selepas mencuci tetapi rasanya seperti dua jam. Saya menangis sepanjang masa. "Ia sebenarnya sangat teruk sehingga badan saya boleh mengalami kejutan jadi ia berbahaya," katanya. Kendall mula mengetahui keadaannya ketika berusia 15 tahun selepas mengalami kulitnya berasa gatal setiap kali mandi. Pada mulanya, dia boleh merawat penyakit itu dengan Piriton namun keadaan kesihatannya bertambah merosot. Kendall kemudiannya dirujuk kepada pakar dermatologi di Hospital Universiti North Durham yang akhirnya mengesahkan dia menghidap urtikaria akuagenik pada 2021. Bagaimanapun, Kendall masih belum menemui sebarang penawar yang membantu menyembuhkan penyakitnya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT