KUALA LUMPUR: Caj beg plastik sekali guna kepada pengguna dicadang dinaikkan kepada 50 sen berbanding 20 sen bagi 'mengawal' rakyat daripada menggunakan bahan itu, sekali gus mengurangkan pencemaran.
Pakar alam sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurul Ain Ab Jalil, berkata cadangan itu susulan penggunaan plastik yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus meletakkan negara di tempat kelima penggunaan tertinggi plastik di dunia.
Beliau berkata, peniaga juga diminta memainkan peranan dengan menyediakan alternatif lain seperti kotak kitar semula untuk kegunaan pelanggan.
"Pada saya dengan menaikkan caj penggunaan plastik boleh secara tidak langsung menyekat rakyat untuk guna plastik dan mampu mengurangkan beban pencemaran plastik.
"Ini kerana antara faktor utama mendorong rakyat Malaysia banyak menggunakan plastik adalah kerana tabiat atau sikap yang menjadi normalisasi gaya hidup.
"Rakyat Malaysia masih bergantung kepada plastik terutama untuk membungkus makanan atau membawa barang," katanya kepada BH hari ini.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, dilaporkan berkata kerajaan merancang penggubalan kerangka dasar dan perundangan menyeluruh peringkat nasional untuk mengatasi pencemaran plastik di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Ini kerana masalah pencemaran plastik adalah serius yang mana Malaysia menjadi antara lima negara dengan pencemaran plastik tertinggi di dunia yang mana ia turut menyumbang kepada masalah kesihatan dan banjir kilat.
Pada masa sama, Nurul Ain berkata, dari aspek perniagaan, terutamanya industri makanan dan runcit, mereka cenderung menggunakan plastik kerana ia menjimatkan kos selain keinginan pelanggan yang masih bergantung kepada plastik kerana lebih mudah, ringan dan cepat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penggubalan akta boleh menjadi langkah yang berkesan jika disertai dengan pendekatan lain seperti pendidikan, insentif dan pembangunan infrastruktur.
Katanya, penyelesaian holistik disifatkan lebih berkesan berbanding hanya bergantung kepada perundangan.
"Penggubalan akta mungkin akan memberi kesan kepada rakyat dan juga peniaga, oleh itu rakyat perlu diberi alternatif yang mudah diakses sebelum larangan dilaksanakan dan insentif kepada peniaga yang menggunakan bahan mesra alam bagi menggantikan plastik," katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat IKLIM, Institut Perubahan Iklim, UKM, Prof Dr Marlia Mohd Hanafiah, berkata pihak pengilang atau pengeluar dicadang supaya diwajibkan menanggung kos pengurusan dan kitar semula dalam mengurangkan penghasilan plastik sekali guna.
Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan bersekali dengan program peningkatan tahap kesedaran yang disifatkan masih rendah dalam kalangan pengguna.
"Apatah lagi kos plastik adalah murah dan mudah diperoleh, tambahan semua premis menyediakan plastik.
"Bagi kerajaan boleh melaksanakan Tanggungjawab Lanjutan Pengeluar (EPR) kepada pengilang dan pengeluar," katanya.
Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Antarabangsa), Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Latifah Abd Manaf, pula berkata import sisa plastik perlu dipantau untuk memastikan hanya bahan plastik kitar semula sahaja yang dibawa masuk bagi memenuhi keperluan industri dan bukan menjadikan Malaysia sebagai tempat pelupusan.
Beliau berkata, permintaan terhadap penggunaan produk plastik semakin meningkat dan menyebabkan pengeluaran tinggi, seterusnya menyebabkan lambakan sisa plastik yang perlu diurus untuk dilupuskan.
"Pengendalian dan pelupusan sisa plastik yang tidak baik mendatangkan masalah kepada alam sekitar dan kesihatan awam.
"Sisa plastik daripada kawasan perbandaran boleh diangkut melalui sungai dan masuk ke ekosistem laut. Di lautan, sisa plastik boleh dibawa arus dan sampai ke negara lain. Oleh kerana Malaysia dikelilingi laut, kita juga turut menerima sisa plastik daripada negara lain yang terdampar di kawasan pantai," katanya.
Kredit -– BH
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|