KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju meminda Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit, sekaligus membendung kegiatan menukar beras tempatan menjadi beras import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohmad Sabu berkata, ini kerana peruntukan seksyen sedia ada di bawah akta itu dilihat masih longgar dan tidak mencukupi dalam membendung kegiatan itu.
"Selepas ini kita akan pergi ke fasa kedua iaitu penguatkuasaan termasuk meminda Akta 522. Dimana kita tahu akta itu begitu longgar sehingga berlaku kegiatan pencampuran beras, (persoalannya) sama ada kita boleh dakwa dimahkamah dan sebagainya.
"Ini dilihat oleh pihak undang-undang. Perlu ada beberapa pindaan supaya apabila kita beralih ke fasa kedua nanti, kita akan dapat membela kedudukan petani ke tahap lebih baik," katanya ketika menggulung perbahasan selepas sesi penerangan khas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat.
Akta 522 ketika ini tidak menyenaraikan kesalahan mencampurkan beras tempatan dengan beras import, sebaliknya hanya menetapkan tujuh jenis kesalahan antaranya menyorok beras dengan tujuan mewujudkan kekurangan bekalan, menjual beras secara borong atau runcit tanpa lesen serta menjualnya melebihi harga kawalan.
Terdahulu, pada penerangan Menteri, Mohamad mengumumkan fasa pertama untuk menangani isu ketiadaan beras tempatan di pasaran.
Beliau turut mengumumkan harga lantai padi adalah dengan pengekalan harga beras tempatan iaitu RM2.60 sekilogram, selain penyelarasan harga lantai padi kepada RM1,500 berbanding RM1,300 sebelum ini.
Pengekalan harga beras tempatan itu menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos pengeluaran 24 juta kampit beras tempatan 10 kilogram berjumlah RM150 juta iaitu bagi tempoh enam bulan ini.
Terdahulu pada sesi perbahasan, Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) berkata, harga lantai padi sepatutnya ditetapkan lebih tinggi, seriring dengan kenaikan kos pengeluaran padi ditanggung pesawah ketika ini.
"Sebagai orang Islam, ya.. syukur, tapi kalau boleh minta naik RM1,800. Kalau tak boleh pun RM1,800, RM1,700 pun oklah. Lagi-lagi bila harga diesel naik, mereka naikkan (kos pertanian), bila turun dia tak turunkan kos pertanian ini," katanya.
Shahidan juga mencadangkan supaya harga beras tempatan di diapungkan, sementara beras import dikawal bagi menangani masalah kekurangan bekalannya di pasaran.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mempersoalkan keputusan kerajaan mengekalkan harga beras tempatan, yang dikhuatiri akan menyebabkan kegiatan mencampur beras tempatan ini terus berleluasa.
"Dengan pengumuman menteri hari ini, peruntukan RM150 juta untuk mengimbangi harga RM2.60 beras tempatan, bermakna industri, pihak yang memanipulasikan beras tempatan sejak dua tahun ini akan mendapat keuntungan dengan menjual dan menukar beras putih tempatan kepada beras import.
"Ini satu keuntungan dan menjadi keuntungan kedua pula, peruntukan RM150 juta ini akan turut dituntut oleh pihak industri ini," katanya.
Kredit -– BERNAMA
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|