KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan nilai sebenar pelaburan yang direalisasikan hasil daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), berkata, sehingga hari ini dalam tempoh tidak sampai dua bulan pertama 2025, sebanyak RM3.5 bilion dana asing bersih sudah ditarik keluar berbanding RM4.2 bilion pada 2024 dan RM2.4 bilion pada 2023.
Katanya, terdapat keresahan dalam kalangan rakyat terhadap nilai ringgit walaupun suasana negara terutamanya ekonomi berada pada tahap sebelum pandemik.
"Nilai ringgit jatuh pada titik terendah dalam tempoh 26 tahun iaitu RM4.78 berbanding satu dolar Amerika Syarikat pada 14 Februari 2024 dan kini masih berkisar sekitar RM4.50.
"Ini menimbulkan persoalan terhadap jumlah sebenar pelaburan yang benar-benar dibawa masuk ke negara ini khususnya hasil daripada lawatan Perdana Menteri ke luar negara," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Pada perbahasan itu, Ismail membangkitkan kesan kenaikan tarif elektrik membabitkan 15 peratus golong maha kaya industri yang beri kesan kepada rakyat.
"Tapi saya ingin tegasnya lumrahnya, kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna yang terdiri daripada 85 peratus isi rumah," katanya.
Mengulas lanjut, Sabri berkata, sejak 2015 sehingga 2022, kadar kenaikan tarif asas adalah kecil dengan lonjakan sekitar
3.7 peratus, iaitu 38.53 kepada 39.95 sen/kilowatt (kWh).
"Namun, tarif asas bagi tahun ini sehingga 2027 dinaikkan secara mendadak, kenaikan sebanyak 14.18 peratus, daripada 39.95 kepada 45.62 sen/kWh," katanya.
Sebelum ini, Anwar berkata, kenaikan kadar tarif elektrik berkuatkuasa pada Julai depan hanya membabitkan sektor perindustrian, dengan 85 peratus daripada rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan itu.
Anwar berkata, kenaikan kadar tarif elektrik itu, hanya membabitkan sektor industri dan golongan maha kaya mengikut kaedah Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).
Kredit -BH
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|