KUALA LUMPUR: Malaysia harus mencontohi Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diasaskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memperkemas perkhidmatan awam negara terbabit, kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah sedemikian tidak seharusnya membabitkan pemberhentian pekerja.
Sebaliknya, tumpuan harus diberikan kepada latihan semula dan penempatan semula penjawat awam di samping penerapan automasi dan Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau juga mencadangkan inisiatif terbabit diterajui seorang individu berbakat daripada sektor swasta.
"Saya pernah menyebut perkara ini dalam podcast (Keluar Sekejap). Jika diberi peluang, saya ingin menyusun semula kerajaan, tetapi kita tidak boleh memberhentikan sesiapa. Sebaliknya, kita harus menempatkan semula penjawat awam ke jawatan yang akan menjadi penting dalam lima hingga sepuluh tahun akan datang, sambil memindahkan fungsi-fungsi yang boleh diautomasi atau diuruskan oleh AI.
"Jika saya berada di Pejabat Perdana Menteri hari ini, saya akan menyarankan penubuhan DOGE, yang dipimpin seorang pemikir hebat daripada sektor swasta yang diberi tugas untuk membangunkan pelan tindakan bagi menyusun semula perkhidmatan awam dalam tempoh lima hingga 15 tahun akan datang dengan jaminan tiada sesiapa akan diberhentikan. Ini sudah tentu akan membabitkan mobilisasi dan penugasan semula tugas-tugas," katanya.
Khairy memberi maklum balas soalan dalam satu episod podcast 'Keluar Sekejap' yang dihoskan beliau dan Shahril Hamdan.
Pendengar bertanya sama ada Malaysia perlu menubuhkan entiti serupa dengan DOGE.
DOGE ditubuhkan ketika pentadbiran Trump dan diketuai oleh jutawan Elon Musk, dengan matlamat untuk memperkemas perkhidmatan awam AS.
Mengulas cadangan Shahril yang menyatakan kerajaan perlu mengumumkan nisbah penjawat awam yang sesuai untuk dekad akan datang, Khairy berkata, beliau lebih cenderung kepada pendekatan yang lebih berhati-hati untuk mengelakkan tentangan besar.
"Pada pendapat saya, dalam konteks Malaysia, walaupun mengumumkan nisbah itu mungkin menimbulkan reaksi politik yang besar. Saya lebih suka berdiam diri mengenai perkara ini.
"Misalnya, jika kita tahu sebuah jabatan, tidak lagi memerlukan 100 staf tetapi hanya 20 (orang) dalam tempoh lima tahun akan datang, kita boleh menguruskan perkara ini secara berperingkat.
"Semasa proses pengambilan dan persaraan, kita mula mengurangkan tugas-tugas tertentu. Sebagai contoh, kita tidak menggantikan mereka yang bersara dan menempatkan yang baharu di kementerian yang memerlukan kepakaran mereka seperti Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pendidikan. Seharusnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memulakan tindakan ini mengikut keadaan," katanya.
Beliau juga berkata, proses sama juga perlu dijalankan dengan berhati-hati bagi mengelakkan tentangan daripada kesatuan sekerja seperti CUEPACS dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
"Mereka mungkin akan menentang langkah sebegini dengan menuduh ahli politik merosakkan kerjaya penjawat awam Melayu," katanya.
Sumber : Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|