Pelakon Farid Kamil mengaku merindui anak-anak dan juga isterinya yang juga pelakon Diana Danielle.
Katanya, dia tidak putus berdoa agar keluarga kecilnya itu dikurniakan kebahagiaan sekaligus mengakui bahawa momen percutian bersama dua anak dan isterinya itu adalah perkara yang paling dirindukannya.
“Perkara yang saya akan sentiasa rindukan adalah ‘bau’ keluarga termasuklah kenangan dan momen percutian bersama keluarga.
“Bila perasaan rindu tu datang, saya akan banyakkan istighfar. Insya-Allah hati akan tenang,” katanya.
Selain itu, Farid atau nama penuhnya, Farid Kamil Zahari, 43, berharap agar suatu hari nanti keluarganya itu kembali bahagia seprti sebelum ini.
“Dalam situasi sekarang tiada senjata, bahan atau warna yang boleh menyampaikan hasrat saya ketika ini melainkan doa.
“Harapan saya, suatu hari nanti keluarga saya kembali berbahagia seperti dulu,” jelasnya.
Mengulas mengenai situasi itu, Farid juga berkongsi bahawa kali terakhir dia berjumpa anak-anaknya adalah pada tahun lalu.
“Kali terakhir jumpa anak tahun lalu, sudah lama tak jumpa. Bukan tak boleh jumpa, tak ada masalah dan juga halangan. Tapi, ketika ini saya perlu berjalan seorang diri untuk mendapatkan apa yang dicari.
“Saya dan anak-anak memang selalu berhubung menerusi panggilan telefon, cuma kalau berjumpa, tahun ini masih belum. Dan, saya masih lagi dalam proses untuk berjumpa dengan isteri,” ujarnya.
Terdahulu, konflik rumah tangga pasangan itu kembali menjadi perhatian selepas Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober tahun lalu selepas lebih setahun rujuk.
Bagaimanapun, Farid dilapor mahu mempertahankan rumah tangga dengan alasan masih sayang isteri dan anak-anaknya.
Kes perceraian mereka bagaimanapun melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas diarah untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Sumber: XTRA
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|