KUALA LUMPUR : Pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari depan adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, bukannya Perdana Menteri. Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Perkara 1 Perlembagaan Sabah jelas menyatakan bahawa Perdana Menteri tiada peranan dalam menasihati agong bagi urusan pelantikannya, sebaliknya ia tanggungjawab Ketua Menteri Sabah. Justeru, beliau menyelar pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz kerana menuduh Perdana Menteri bersikap hipokrit susulan pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, hari ini. "Sebelum YB (Amira) membuat kenyataan tanpa asas fakta seperti ini, seharusnya YB teliti dahulu Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah yang jelas menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam pelantikan TYT Sabah," katanya.
Fahmi juga berkongsi pautan penuh Perlembagaan Sabah yang memperincikan aturan kuasa berkaitan pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah. Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah menyatakan Yang Dipertua Negeri Sabah dilantik mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri. Terdahulu, Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dalam ciapan di X menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap hipokrit susulan pelantikan Musa itu. Ini berikutan dakwa Amira, Musa pernah dilabel sebagai perasuah oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pelantikannya ke jawatan itu juga tidak memenuhi semangat reformasi dilaung PH selama ini. Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah,dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di sini, pagi tadi. Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028. Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011. Sumber – BH ONLINE |
ADVERTISEMENT