HARRISBURG, PENNSYLVANIA – Pihak berkuasa negeri Pennsylvania giat mencari seorang nenek berusia 64 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam lubang benam ketika keluar mencari kucingnya yang hilang, lapor agensi berita United Press International semalam. Pegawai Polis Negeri Pennsylvania, Steve Limani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1 pagi (waktu tempatan) mengenai kehilangan Elizabeth Pollard. Limani berkata, Pollard meninggalkan rumah Isnin lalu untuk mencari kucingnya dan dia kali terakhir dilihat pada pukul 5 petang (waktu tempatan) hari yang sama di komuniti Marguerite. Pencarian seterusnya membawa kepada penemuan kereta wanita tersebut kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan), keesokan harinya. Cucu perempuan Pollard yang berusia lima tahun, ditemui di dalam kenderaan itu, dan dia berada dalam keadaan baik.
Kira-kira 4.5 meter hingga 6 meter dari situ, polis menemui lubang benam yang boleh memuatkan seorang individu dewasa dan mereka percaya, ia muncul ketika mangsa berjalan di kawasan itu. Anggota-anggota bomba menggunakan tangga dan abah-abah untuk mencari mangsa di dalam lubang itu, namun sehingga kini, dia gagal ditemui. – AGENSI Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT