KUALA LUMPUR: "Dalam fikiran saya hanyalah nyawa mereka kerana saya pun ada anak. Alhamdulillah, Allah permudahkan". Tindakan anggota tentera, Staf Sarjan Mohd Nor Khalid, 40, yang nekad terjun ke dalam tasik tadahan hujan, Taman Lautan Samudera di Puncak Alam berjaya menyelamatkan empat pelajar Tingkatan Satu yang hampir lemas selepas sampan dinaiki mereka terbalik dalam kejadian Ahad lalu. "Allah gerakkan hati saya, terdetik untuk cuba menyelamatkan empat remaja itu sebaik tahu mereka sudah berada dalam tasik berkenaan hampir 45 minit dalam keadaan semakin tidak bermaya, manakala pasukan penyelamat masih belum tiba. "Saya memberitahu orang ramai yang ada di situ saya mahu terjun menyelamatkan mangsa kerana bimbang sesuatu lebih buruk berlaku, namun dilarang kerana bahaya. "Tawakal, saya beranikan diri untuk selamatkan kumpulan remaja itu, dalam fikiran saya adalah nyawa mereka kerana saya pun ada anak. Allah permudahkan saya untuk menyelamatkan mereka," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pemakaian pangkat daripada Sarjan ke Staf Sarjan oleh PanglimaTentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini. Mohd Nor yang bertugas dalam Pasukan 41, Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) di Kem Sungai Buloh, berenang sejauh lebih 45 meter menuju ke arah mangsa sebelum membawa mereka seorang demi seorang ke tebing. "Mereka yang dalam keadaan ketakutan juga memberitahu tidak pandai berenang. Sebaik saya cuba membawa mangsa pertama berenang bersama ke tebing, dia terus memeluk bahagian belakang saya, namun syukur saya masih mempunyai tenaga untuk menyelamatkannya. "Saya terpaksa mencari tebing terdekat yang dianggarkan sejauh 25 meter untuk menyelamatkan setiap seorang mangsa berbanding tebing lain dalam jarak dianggarkan antara 45 meter dan 35 meter," katanya yang berkhidmat hampir 20 tahun dalam Tentera Darat Malaysia (TDM). Anggota tentera berkenaan yang akan menamatkan perkhidmatan tahun hadapan, bersyukur Allah mempermudahkan usahanya menyelamatkan keempat-empat mangsa meskipun mula keletihan selepas membawa dua daripada mereka ke tebing. "Saya ambil masa 15 minit membawa kesemua mangsa dari lokasi sampan menuju ke tebing. Ketika bawa mangsa terakhir ke tebing, anak perempuan saya yang sememangnya gelisah dari mula saya terjun ke dalam tasik terus mengungkapkan 'Alhamdulillah Papa selamat'. "Mereka takut sesuatu menimpa saya," katanya. Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, TDM memberikan pengiktirafan kenaikan pangkat kepada Mohd Nor, yang dianggap wira pasukan atas keberanian luar biasa yang dipamerkan. "Ini tindakan yang saya rasa mencerminkan semangat keperwiraan oleh seorang anggota TDM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial menyelamatkan nyawa orang awam dalam saat-saat kecemasan. "Beliau ambil risiko berdasarkan keadaan ketika itu. Alhamdulillah semua mangsa berjaya diselamatkan dan tindakan ini perlukan sifat keberanian untuk bertindak secara spontan. Sikap dan tindakan beliau harus jadi contoh kepada setiap anggota TDM dan diharap dapat beri inspirasi kepada seluruh rakyat," katanya. Empat remaja lelaki berkenaan dilaporkan sedang memancing bersama dua lagi rakan, semua berusia 13 tahun apabila sampan dinaiki mereka karam sebelum kejadian dilaporkan kepada polis pada jam 12.30 tengah hari. Mereka menggunakan sampan yang terdampar di tepi tasik untuk keluar memancing sebelum ia karam di tengah tasik, namun dua daripada remaja terbabit berjaya menyelamatkan diri kerana mahir berenang. Sumber : Berita Harian |
ADVERTISEMENT