PERASAAN pemuda itu bercampur baur saat matanya melihat animatronik Pterosaur berdiri megah ‘menyambut’ para tetamu yang memasuki pintu gerbang taman tema, Dino Desert di Sungai Long, Cheras, Selangor. Dinosaur animatronik bersayap yang pernah hidup semasa era Mesozoik itu dibina mengikut saiz sebenar iaitu dengan ketinggian 10 meter dan berat, 250 kilogram. Pterosaur merupakan salah satu dinosaur kegemaran Harith Emir Khan Firoz Khan sejak zaman kanak-kanak lagi kerana ia merupakan vertebrata pertama yang mampu terbang. Menurut lelaki berusia 22 tahun itu, misteri di sebalik kewujudan haiwan terbesar yang pernah hidup di Bumi tersebut membuatkannya teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut. “Saya meminati dinosaur sejak berusia empat tahun. Pada masa itu, saya rasa dinosaur sangat hebat kerana saiznya yang besar dan kekuatan dimiliki.
“Bayangkan, haiwan ini bukanlah imaginasi manusia seperti naga atau unicorn, tetapi ia benar-benar pernah wujud di Bumi pada suatu masa dahulu,” katanya kepada K2. Harith merupakan salah seorang peserta program ‘Dekat-Dekat Selangor Je’ anjuran Tourism Malaysia yang bertujuan mempromosikan produk pelancongan di negeri berkenaan. Dino Desert memegang status sebagai taman tema dinosaur terbesar di Malaysia. Taman tema dengan keluasan kira-kira 4.5 hektar itu merupakan milik Monkey Canopy Resort yang dibuka secara rasmi pada Mei lalu. Secara keseluruhan, taman tema tersebut menampilkan lebih daripada 130 jenis dinosaur menerusi animatronik yang dibina di dalam kawasan persis padang pasir. Semua dinosaur animatronik yang datang dalam pelbagai bentuk itu juga dibina mengikut saiz sebenar haiwan tersebut. Ini termasuk Dreadnoughtus yang dipercayai merupakan salah satu haiwan terbesar yang pernah hidup di muka Bumi. Dinosaur jenis herbivor itu mempunyai ketinggian sekitar 26 meter dan dianggarkan mempunyai berat antara 50 hingga 65 tan. Selain Pterosaur, Harith Emir Khan turut meminati Stegosaurus dan pernah menyertai pertandingan berkaitan dinosaur itu di Petrosains pada suatu ketika dahulu. “Saya pernah masuk pertandingan yang memerlukan saya bertindak sebagai ahli paleontologi dan meneroka fosil-fosil dinosaur. “Saya juga pernah membeli buku-buku tentang dinosaur untuk memahami lebih lanjut mengenai jenis-jenis haiwan tersebut,” katanya. Sementara itu, seorang lagi peserta, Mohd. Zulhelmi Zulkifli berkata, ciri-ciri realistik yang ada pada dinosaur animatronik pasti membuatkan anak lelakinya teruja. Ujarnya, anaknya, Adam Daniyal, 6, merupakan peminat dinosaur paling popular dan ikonik iaitu Tyrannosaurus rex atau T-rex. T-rex menjadi selebriti dalam kalangan dinosaur setelah spesies itu diangkat menjadi watak jahat dalam siri filem pecah panggung iaitu Jurassic Park dan Jurassic World. Lelaki berusia 39 tahun itu mahu membawa anak dan isterinya melawat taman tema dinosaur tersebut apabila berkesempatan nanti. “Adam Daniyal memiliki banyak koleksi mainan dinosaur. Kalau sudah beli mainan kereta, dia tetap mahukan mainan dinosaur. “Saya yakin, ciri realistik animatronik T-rex yang mampu bergerak dan mengaum akan membuatkan anak saya terkesima,” katanya. Untuk pengetahuan, dinosaur merupakan sekumpulan reptilia yang pertama kali muncul semasa era Mesozoik, sekitar 230 juta tahun dahulu. Haiwan tersebut menguasai Bumi selama kira-kira 165 juta tahun sebelum kebanyakan spesies pupus kira-kira 66 juta tahun dahulu. Dinosaur secara meluas dibahagikan kepada dua kumpulan utama berdasarkan struktur pinggul mereka iaitu Saurischia (bentuk cicak) dan Ornithischia (bentuk burung). Dino Desert memiliki 13 titik henti yang merangkumi dinosaur daripada kedua-dua kumpulan utama tersebut. Ia merangkumi dinosaur jenis popular seperti Velociraptor, Triceratops, Brachiosaurus dan kurang popular iaitu Torvosaurus, Mamenchisaurus serta Stygimoloch. Menurut pengurus tarikan, Shahrul Ezwan, kebiasaannya pengunjung akan menghabiskan masa selama dua jam untuk menerokai keseluruhan taman tema itu. “Setiap dinosaur animatronik disertakan dengan maklumat terperinci seperti nama, asal, berat, ketinggian serta deskripsi sifatnya. “Maklumat-maklumat ini telah mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan. “Oleh itu, Dino Desert sangat sesuai untuk semua lapisan umur,” katanya. Selain dinosaur animatronik, Dino Desert turut memiliki kawasan permainan lengkap dengan gelongsor, buaian dan ruang mendaki. Berdekatan dengan kawasan tersebut terdapat Zon Fosil yang menampilkan replika rangka dinosaur. Sekiranya mahu melihat panorama keseluruhan Dino Desert yang cantik terutama pada waktu senja, pengunjung disarankan mendaki puncak Look Out. Dino Desert dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, sekali gus membolehkan pengunjung menikmati kawasan itu dalam suasana berbeza. Selain itu, taman tema tersebut turut memiliki surau dan kafe untuk kemudahan pengguna. Tambah Shahrul, keadaan taman tema yang bertangga dan terbuka memerlukan pengunjung untuk merancang kedatangan mereka terlebih dahulu. “Saya sarankan pengunjung membawa bersama payung, topi serta botol air kerana perjalanan keseluruhan adalah sejauh 3 kilometer (km). “Memandangkan kawasan ini juga bertangga, pengunjung perlu sentiasa memantau anak mereka sepanjang berada di sini,” katanya. SUMBER: Kosmo |
lolipopmanish: Tiket mahallll
adm7 replied at 17-11-2024 03:00 PM
Dah nak masuk 2025 pun masih nak merepek pasal dinosour ke
SalenaGomez replied at 17-11-2024 07:25 PM
SG dulu pon suka baca2 pasal dinosaur sbb dulu2 rajin beli ensiklopedia. Bila dah besar, rasa mcm ...
ADVERTISEMENT