TAWAU – Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan 38 buah rumah di Lorong Jati, Kampung Kinabutan, Batu 5 Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu, mayat kanak-kanak terbabit ditemui kira-kira pukul 4.50 pagi selepas operasi pemadaman tamat. Difahamkan, sebahagian besar penghuni tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga ekoran api marak dengan cepat selain kedudukan rumah yang rapat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.55 tengah malam. Jelasnya, sepasukan 27 anggota bersama pegawai kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar. “Kebakaran tersebut melibatkan 38 buah rumah di kawasan seluas kira-kira 1.57 ekar dan pasukan bomba telah menjalankan operasi pemadaman menggunakan air dari jentera dan sumber air terbuka. “Terdapat seorang mangsa kanak-kanak lelaki berumur lima tahun ditemui rentung pada jam 4.50 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Jemishin berkata, api dapat dikawal pada jam 2.28 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.06 pagi tadi. Tambahnya, tindakan pemadaman yang dibantu dibantu Pasukan Bomba Sukarela Titingan dan agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis berjaya menyelamatkan lebih 68 rumah berhampiran. SUMBER : Kosmo |
ADVERTISEMENT