KUALA TERENGGANU – Taufan Trami yang kini sedang melanda Filipina tidak mungkin boleh mencetuskan ribut di daerah Dungun, Kemaman serta Kuantan, Lepar dan Pekan, Pahang seperti ditularkan di media sosial. Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, negara diramal tidak akan menerima tempias secara langsung taufan Trami ekoran kedudukannya yang agak jauh. “Berdasarkan laporan Agensi Meteorologi Jepun, taufan Trami agak jauh dengan kawasan kita. “Taufan itu juga dijangka mendarat ke Vietnam selepas melanda Filipina,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. Terdahulu tular dakwaan di media sosial kononnya kawasan dari Paka, Dungun hingga Pekan berisiko dilanda ribut bermula pukul 2 petang esok. Dakwaan itu menggempar dan mencetus kebimbangan netizen terutama penduduk setempat sehingga mendapat teguran Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman.
Begitupun, Jing Xiang tidak menolak kemungkinan taufan terbabit boleh meningkatkan potensi hujan terutama di wilayah Pantai Timur. Jelas beliau, ia disebabkan fenomena taufan yang bertekanan rendah berpotensi menyedut kelembapan-kelembapan atmosfera kepadanya. “Hujan berpotensi berlaku sekiranya kelembapan-kelembapan ini melalui kawasan atmosfera (negara) kita. “Apapun sebenarnya kejadian hujan pada waktu petang dan malam di Pantai Timur ketika adalah normal memandangkan kita sedang berada pada tempoh peralihan monsun,” katanya. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT