SEOUL – Ketegangan antara Korea Selatan dan Korea Utara memasuki episod baharu apabila kedua-dua seteru itu mula diheret ke kancah perang Russia dan Ukraine. Akhbar The Guardian melaporkan, Seoul sedang mempertimbangkan untuk membekalkan senjata secara terus ke Ukraine. Ia susulan bukti-bukti semakin meningkat yang mengatakan bahawa askar-askar Pyongyang bersiap sedia untuk membantu Russia dalam peperangan. Agensi perisikan Korea Selatan (NIS) berkata pada minggu lalu bahawa Korea Utara telah menghantar 1,500 anggota pasukan khas ke timur jauh Russia untuk menyertai latihan dan menyesuaikan diri di sebuah pangkalan tentera. Ia didakwa bagi menghadapi pertempuran di samping tentera Moscow di Ukraine. Media tempatan memetik NIS sebagai berkata, Pyongyang memutuskan untuk menghantar seramai 12,000 askar yang dibentuk menjadi empat briged ke Russia. Susulan itu, seorang pegawai kanan di Pejabat Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol kelmarin berkata, Seoul mempertimbangkan untuk membekalkan senjata pertahanan dan yang boleh membawa maut kepada Ukraine, namun ia bergantung kepada perkembangan semasa. “Kami akan mempertimbangkan untuk membekalkan senjata bagi tujuan pertahanan (Ukraine) sebagai sebahagian daripada senario langkah demi langkah. “Sekiranya mereka (Korea Utara dan Russia) bertindak keterlaluan, kami mungkin akan mempertimbangkan penggunaan serangan,” kata pegawai Suk-yeol kepada pemberita. Komen itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan mengadakan mesyuarat tergempar untuk menilai tindak balasnya terhadap hubungan ketenteraan Korea Utara dan Russia yang semakin meningkat. Korea Selatan yang mempunyai sejumlah simpanan peluru artileri terbesar di dunia, telah memberikan bantuan kemanusiaan dan sokongan lain kepada Ukraine sambil menyertai sekatan ekonomi yang diketuai oleh Barat terhadap Moscow. Namun, ia tidak secara langsung memberikan bantuan senjata kepada Kyiv kerana akur kepada dasar lama untuk tidak membekalkan senjata kepada negara yang terlibat secara aktif dalam konflik. Kyiv bagaimanapun mengalu-alukan peralihan dasar senjata Seoul ketika negara itu menghadapi masalah kekurangan senjata yang serius. Pada Ahad lalu, pusat komunikasi strategik dan keselamatan maklumat Ukraine mengedarkan video yang menunjukkan askar-askar Korea Utara menerima pakaian seragam dan peralatan di sebuah pusat latihan di Sergeevka, Russia. Sebuah media saluran bebas di Russia, Astra menerbitkan dua klip video kelmarin tentang apa yang kelihatan seperti sejumlah askar Korea Utara berdiri di luar sebuah pangkalan tentera dan bercakap dalam bahasa Korea. Russia dalam pada itu menolak untuk menjawab secara langsung soalan tentang sama ada tentera Pyongyang akan bertempur di Ukraine. Namun, Kremlin berkata, ia adalah hak kedaulatan Moscow untuk menjalin hubungan dengan Pyongyang. Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu wartawan Isnin lalu bahawa kerjasama antara Moscow dan Pyongyang ‘tiada kaitan dengan negara pihak ketiga’. Tambahnya, perkara itu tidak sepatutnya membimbangkan sesiapa, lapor agensi berita TASS. Sementara itu, adik perempuan kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, mengecam Kyiv dan Seoul susulan amaran mereka tentang dakwaan campur tangan Pyongyang konflik tersebut. Kim Yo-jong menuduh Korea Selatan sebagai ‘sampah’ yang melanggar kedaulatan Korea Utara dan menindas Pyongyang kerana pencerobohan dron ke atas negara komunis itu. “Seoul dan Kyiv adalah rakan sejawat yang mengeluarkan kenyataan melulu terhadap negara bersenjata nuklear tanpa mempunyai keupayaan seumpamanya,” katanya. – AGENSI
Sumber : Kosmo
|
Isninselasarabu replied at 24-10-2024 02:25 PM
Ukraine dgn russia.. yang mane satu tembak mh17 dulu? Ukraine kan?
lipans replied at 24-10-2024 05:34 PM
korea sesama korea bergaduh, us tepuk tangan.
shamsadis replied at 24-10-2024 07:54 AM
South Korea bekal senjata kepada Ukranie, boleh. Bila Korea Utara sumbang tenaga, tak boleh.
biar j ...
ADVERTISEMENT