Beijing: Dua panda gergasi berlepas dari China ke zoo di ibu negara Amerika Syarikat (AS), semalam. Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) berkata, panda jantan bernama Bao Li, dan panda betina, Qing Bao, masing-masing berusia tiga tahun, dalam perjalanan ke Zoo Negara Smithsonian, Washington. Katanya, penghantaran haiwan itu di bawah perjanjian pembiakan dan penyelidikan selama sedekad. "China dan AS membuat rancangan teratur... bagi memastikan kedua-dua panda gergasi itu akan tiba di Zoo Negara Washington dengan selamat dan lancar. "Semasa dalam perjalanan, makanan panda dalam penerbangan yang disediakan termasuk rebung, lobak merah dan roti jagung Cina," kata CWCA dalam satu kenyataan. Presiden China Xi Jinping berkata, China bersetuju menghantar panda baharu sebagai hadiah persahabatan antara rakyat China dan AS selepas bertemu rakan sejawatannya Joe Biden pada sidang kemuncak di California, November lalu.
Ketibaan panda ke Washington kali ini nampaknya dialu-alukan dengan dengan laman web Zoo Negara terpampang sepanduk yang berbunyi: Panda akan datang. "Sesuatu gergasi akan datang ke Washington," kata zoo itu dalam catatan di X. Zoo Negara Smithsonian berkata, kemudahan itu akan ditutup pada Selasa demi keselamatan panda dan kakitangan. Katanya, mereka juga melakukan persiapan termasuk pengubahsuaian di habitat panda untuk meningkatkan keselamatan kemudahan dan memaksimumkan ruang untuk beruang berkeliaran. China menggunakan diplomasi panda sejak 1972, apabila haiwan itu kali pertama dihantar ke Washington sebagai hadiah, berikutan lawatan bersejarah presiden AS, Richard Nixon ke negara Komunis itu. Sumber – Harian Metro |
ADVERTISEMENT