Beirut, Lubnan: Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan memberi amaran mengenai 'risiko yang sangat serius' untuk anggota 'Topi Biru' mereka selepas letupan mencederakan dua anggota misi berhampiran sempadan Israel, kejadian kedua seumpama itu dalam tempoh dua hari. Tentera Israel berkata, tenteranya melepaskan tembakan ke arah 'ancaman' berhampiran kedudukan misi pengaman PBB, pada Jumaat. Pertelagahan antara Israel dan Hizbullah di selatan Lubnan berlaku sejak minggu lalu apabila Israel mengumumkan pencerobohan 'bersasar' terhadap kumpulan terbabit yang disokong oleh Iran Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berkata, kawasannya 'diserang berulang kali' dan dua anggota 'topi biru' dari Indonesia cedera pada Khamis, sekali gus mencetuskan kecaman di peringkat antarabangsa. Pada pagi Jumaat, Ibu Pejabat UNIFIL di Naqoura terjejas susulan letupan kali kedua dalam tempoh 48 jam yang lalu.
"Dua anggota pasukan pengaman cedera selepas dua letupan berlaku berhampiran menara pemerhati," kata misi pengaman itu. Jurucakap UNIFIL berkata mereka adalah warga Sri Lanka. Tentera Israel berkata askar yang beroperasi di selatan Lubnan mengenal pasti ancaman segera terhadap mereka dan melepaskan tembakan terhadap ancaman itu. "Pemeriksaan awal mendapati ketika kejadian, satu tembakan terkena pada pos UNIFIL, yang terletak kira-kira 50 meter dari sumber ancaman, yang mengakibatkan kecederaan kepada dua anggota UNIFIL," katanya. UNIFIL berkata, beberapa tembok di 1-31 pos UNIFIL, berhampiran dekat 'garisan biru' di Labbouneh, runtuh apabila sebuah Caterpillar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melanggar perimeter dan kereta kebal IDF bergerak dekat dengan pos berkenaan. ''Kejadian ini sekali lagi meletakkan pasukan pengaman, yang berkhidmat di selatan Lubnan atas permintaan Majlis Keselamatan di bawah resolusi 1701 (2006), dalam risiko yang sangat serius," katanya. Sebelum itu, Kementerian Luar Lubnan menyatakan tentera Israel menyerang 'menara pengawasan dan pangkalan utama UNIFIL di... Naqoura, serta pangkalan batalion Sri Lanka, yang mengakibatkan beberapa orang cedera. "Agensi Berita Nasional rasmi Lubnan menyatakan sebuah kereta kebal Merkava Israel menyasarkan salah satu menara UNIFIL di jalan utama yang menghubungkan Tyre dan Naqoura, menyebabkan anggota dari Sri Lanka cedera. Hizbullah pada Jumaat berkata, ia melancarkan roket ke arah tentera Israel di kawasan Ras Naqura, jauh ke selatan. Sementara, Israel menyatakan tenteranya melepaskan tembakan terhadap 'ancaman' berhampiran pos pengaman pada Jumaat di Lubnan dan mengakui serangan itu mencederakan dua anggota 'topi biru' dalam kejadian yang mencetuskan reaksi diplomatik yang hebat. Terdahulu, dua anggota pengaman Indonesia, UNIFIL cedera dalam serangan di selatan Lubnan. Menteri Luar, Retno Marsudi mengesahkan kedua-dua anggota itu mengalami cedera ringan akibat tembakan kereta kebal IDF ketika mereka sedang memantau dari menara pengawal di pangkalan kontingen Indonesia di Naqoura pada pagi Khamis. Kawasan ini dikenali sebagai 'blue line', dipantau oleh pengaman PBB di bawah mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bertujuan mengekalkan kestabilan di Lubnan. Kedua-dua anggota itu menerima rawatan segera di hospital berhampiran dan kini berada dalam keadaan baik," kata Retno dalam satu kenyataan. Indonesia mengecam serangan itu dan menyeru agar siasatan menyeluruh dilakukan serta mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. Sumber: Harian Metro |
satu tembakan terkena pada pos UNIFIL, yang terletak kira-kira 50 meter dari sumber ancaman
ADVERTISEMENT