PETALING JAYA – Hanya bersiaran langsung menunjukkan siput sedut berlumba, seorang anak kelahiran Langkawi, Kedah meraih hampir RM2,000 satu malam menerusi hadiah ‘gift’ yang diberikan oleh penonton. Muhammad Aswat Azdha Idris, 29, atau lebih dikenali sebagai @tansri_ash di akaun TikToknya, tidak menyangka permintaan untuk melihat siput sedut berlumba sangat tinggi dalam kalangan penonton. Beberapa tangkap layar videonya tular di media sosial sejak beberapa hari ini menunjukkan minat orang ramai terhadap perlumbaan siput sedut yang dianggap unik serta menghiburkan. Jika sebelum ini siaran langsungnya hanya ditonton kurang daripada 10 orang, namun kini pada satu-satu masa Muhammad Aswat berjaya meraih sehingga 26,000 penonton dan 5.7 juta tanda suka daripada pengguna TikTok. Kisah Muhammad Aswat yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Pulau Tuba bermula apabila seorang penjual kupang dan siput berhenti di hadapan kedai ibunya, dua hari lepas.
“Mula-mula abang tu tanya nak beli kupang tak, manakala satu lagi beg plastik siput sedut dia nak bagi percuma je. “Saya ambil lah satu plastik tu dan letakkan di sebelah kerusi saya. Kemudian ada seekor siput nak terkeluar, jadi saya letak di atas meja, di hadapan telefon. Kebetulan waktu tu saya tengah bersiaran langsung. “Tak lama lepas tu, seekor lagi nak terjatuh. Jadi saya ambil lagi seekor letak atas meja. Kemudian nampak dua ekor ni macam berlawan dan tak lama lepas tu penonton makin lama makin ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Tambah Muhammad Aswat lagi, menyedari peningkatan penonton di siaran langsungnya, ibunya menyuruh untuk mengambil tudung periuk bagi memudahkan siput sedut itu ‘memecut laju’. “Saya pula terdetik nak ambil ‘marker pen’, dan terus tulis garisan mula dan tamat. Malam itu sahaja saya raih 5,700 penonton diikuti dengan petang esoknya 12,000 penonton. “Paling kemuncak malam tadi di mana saya dapat 26,000 penonton beserta 5.7 juta tanda suka dalam masa tiga jam. Memang saya tak sangka betul-betul ‘meletup’ macam ni,” ujarnya. Dalam pada itu, Muhammad Aswat tidak menyangka tuah membuat ‘live’ siput sedut itu menjadi penyumbang kepada rezekinya apabila meraih hadiah ‘gift’ mencecah RM2,000 dalam satu malam. Bagaimanapun, dia tidak menerima sebarang ‘betting’ atau pertaruhan daripada orang ramai meskipun mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penonton. “Memang ramai yang DM, kata nak beri duit sekian-sekian jumlah untuk bertaruh. Tapi saya tak nak sebab itu dikira judi. Saya buat hanya suka-suka sahaja. “Tadi saya dah beli barang sikit, insya-Allah trek lumba siput sedut akan ada ubah suai sikit. Saya buat kandungan ni pun tidak sangka ramai yang beri komen positif. “Sampai di luar dah ada orang panggil saya ‘CEO Siput Sedut’. Insya-Allah saya akan kekalkan kandungan yang santai sahaja untuk orang ramai yang mencari hiburan setelah penat seharian bekerja,” katanya. Sumber – KOSMO! ONLINE |
Itzy replied at 23-8-2024 12:37 AM
Puak2 kaki judi ni pantang tengok benda2 race berbau kejudian ni. Seeloknya hentikan la live begini, ...
zehra2 replied at 23-8-2024 07:30 AM
mesti slow gila kan
sempat masak n mkn mee maggi
MissYouSayang replied at 23-8-2024 01:44 AM
Benda takde pekdah langsung
_kelly replied at 23-8-2024 12:30 AM
hiburan b40
sorry not sorry
bpbbppbp replied at 23-8-2024 08:06 AM
Mcm mne nak trigger siput ni bgi berjalan. Nak kne tepuk belakang dia ke, or kne letak makanan di ga ...