Penyanyi Nabila Razali dan ibunya didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, hari ini kerana memandu kereta tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans, Januari lalu. Majistret Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah ibu Nabila, Shamsidah Abdul Rahman, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang juga mewakili anaknya, sejurus empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Berdasarkan dua pertuduhan terhadap Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 31, dia sebagai pemilik sebuah kereta didapati membenarkan ibunya, Shamsidah menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya dengan LKM tamat tempoh dan tanpa polisi insurans. Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dalam daerah Alor Gajah pada 9 Januari 2024.
Sementara itu, ibunya turut berdepan dua pertuduhan iaitu memandu menggunakan kenderaan dengan LKM tamat tempoh dan tanpa perlindungan insurans pihak ketiga pada masa, tarikh dan lokasi yang sama. Sabit kesalahan mereka berdua berdepan denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama. Bagi kesalahan tiada polisi insurans, Nabila dan ibunya juga didakwa mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90(2) akta sama yang memperuntukan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau keduanya sekali dan boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu, jika sabit kesalahan. Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan, Fadzil Abu, manakala Nabila dan ibunya tidak diwakili peguam bela. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM120 bagi setiap mereka atau penjara sehari jika gagal bayar. Anak beranak itu membayar denda tersebut. Sumber: KOSMO! ONLINE. |
ADVERTISEMENT