PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan tidak meneruskan prosiding saman fitnah bernilai RM220 juta terhadap sebuah portal berita berhubung laporan liputan perbicaraan kes rasuahnya. Beliau yang juga Presiden UMNO dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil berikutan prosiding jenayah tersebut telah dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah pada 4 September 2023. “Saya telah memfailkan saman terhadap MalaysiaKini pada 24 Mac 2021 bersabit dengan penerbitan laporan-laporan yang berbaur fitnah dan selektif berkaitan prosiding jenayah terhadap saya di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur (22 laporan kesemuanya). “Bagaimanapun, oleh kerana prosiding jenayah tersebut telahpun dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah, saya telah dinasihatkan oleh pihak peguam saya untuk tidak lagi meneruskan prosiding saman fitnah terhadap Malaysiakini ini bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan tidak memprejudis pihak-pihak yang terlibat,” katanya hari ini.
Media pada 26 Mac 2021 melaporkan, Presiden UMNO mengemukakan saman fitnah bernilai RM220 juta terhadap Malaysiakini berhubung laporan liputan perbicaraan kes rasuahnya. Tuntutan itu yang diajukan pada 24 Mac, memetik 22 artikel yang diterbitkan oleh portal berita tersebut. Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, tindakan yang dilakukan oleh defendan-defendan dalam saman fitnah tersebut telah mencemar nama baik dan memberikan sentimen negatif terhadap dirinya. Bagaimanapun, katanya, setelah mempertimbangkan nasihat peguam dan melihat kepada perkembangan semasa, beliau mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan isu itu. Justeru, katanya, beliau berharap defendan-defendan terbabit lebih bertanggungjawab dan telus ke atas semua laporan-laporan yang diterbitkan terhadapnya selepas ini. “Saya juga berharap laporan-laporan yang berbaur fitnah dan selektif seperti yang dikeluarkan sebelum ini tidak berulang lagi di masa akan datang. “Saya juga menyeru kepada pemain media dan semua pemegang taruhnya untuk terus bersandarkan kepada prinsip dan etika kewartawanan yang tinggi dan berhemah atas setiap penerbitan,” katanya. Ujar beliau, terbitan berita yang salah, laporan yang selektif, bias dan tidak tepat merencatkan keyakinan awam kepada nilai kewartawanan yang bertanggungjawab. Tambah beliau, ia juga akan mencemarkan integriti lebih-lebih lagi apabila melibatkan nama baik dan keperibadian seseorang atau sesebuah institusi. Sumber : KOSMO! ONLINE Lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My Telegram Channel : https://t.me/+KyXuOvLcTgkxZWE1 Whatsapp Channel : https://whatsapp.com/channel/0029Vacxp9d9MF91QzmmW60X |
ADVERTISEMENT