BUNTONG – “Seminit pun saya tak pernah lepaskan dia dari pandangan mata, pergi kerja pun saya kendong…,” itu perumpamaan kasih sayang yang diberikan Erny Yusnita Kamaludin kepada anak kelimanya dari enam beradik yang mengidap penyakit kepala besar (hydrocephalus) sejak lahir. Erny, 36, berkata, anaknya, Dennis Eqwan Adif Affendy, 5, kini hanya terlantar dan tidak mampu bergerak aktif seperti kanak-kanak seusia dengannya. Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa membawa bersama Dennis ke tempat kerjanya setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 5 petang. “Kalau saya tak kerja, mana cukup untuk tampung pendapatan keluarga, mahu atau tidak saya terpaksa bawa Dennis bersama ke tempat kerja, mujurlah saya mendapat majikan yang baik dan sangat memahami,” katanya ketika ditemui sempena kunjungan Pertubuhan Masyarakat Prihatin Perak di kediamannya di Rumah Pangsa Taman Harmoni, di sini, semalam. Erny yang bekerja sebagai pencuci rumah di Taman Meru berkata, sepanjang tempoh lima tahun ini, tidak banyak karenah yang ditunjukkan Dennis, hanya kadangkala mengalami kejang dan sawan. “Demam, batuk itu biasalah, Alhamdulillah setakat ini tiada apa-apa kompilasi teruk yang berlaku kepadanya, setiap empat bulan saya akan bawanya untuk rawatan,” katanya. Erny berkata, dia dan suami pernah berhasrat menghantar Dennis untuk menjalani pembedahan membuang lebihan air dalam kepala, namun tidak dapat diteruskan kerana kekangan kewangan. Erny berkata, pendapatan suaminya, Affendy Abd Hamid, 32, yang bekerja di bengkel besi tidak cukup untuk menampung keperluan mereka sekeluarga, apatah lagi, empat dari enam anaknya masing-masing berusia antara 10 hingga 7 tahun sudah bersekolah. Dengan pendapatan RM20 sehari yang diperolehi serta gaji RM700 suaminya, Erny mengakui ada kalanya mereka terpaksa mengikat perut semata-mata bagi memastikan keperluan rawatan dan makanan Dennis mencukupi. “Perkara paling sedih bila saya tak dapat belikan keperluan susu untuk Dennis, saya terpaksa beli susu murah harga RM6 sebab waktu tu duit tak cukup, tak kan nak minta tolong jiran dan saudara..mereka pun sudah banyak membantu,” katanya. Bagaimanapun Erny berkata, bantuan bulanan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung. “Saya pernah juga mohon bantuan lain, tetapi tak berjaya, secara jujur kami tak pernah rasa pengalaman dikunjungi dan diberikan perhatian seumpama ini, apa-apa pun terima kasih,” katanya. Berdasarkan laporan perubatan, keluarga ini dimaklumkan, Dennis yang membesar dengan bergantung kepada susu khas hanya mampu bertahan sehingga usianya mencecah tujuh tahun. “Kami sikit pun tak pernah rasa susah atau terbeban dengan keadaan Dennis, dialah penghibur buat kami sekeluarga..ajal maut semua di tangan Tuhan, kalau boleh kami nak sentiasa bersama,” katanya. Erny berkata, ketika lahir, Dennis mempunyai berat 5.4 kilogram dengan ukur lilit kepalanya 41 sentimeter. “Kalau diikutkan otak Dennis kini hanya sebesar 50 sen sahaja,” katanya. Tuah pakai baju pertubuhan Pertemuan antara keluarga Erny bersama Pertubuhan Masyarakat Prihatin Perak berlaku tanpa dirancang apabila salah seorang ahli jawatankuasa mereka memakai pakaian rasmi pertubuhan itu ketika sedang bertugas. Bendaharinya, Sunny Choo berkata, peristiwa berkenaan berlaku di sebuah bank apabila seorang pelanggan tampil melontarkan pertanyaan sama ada pertubuhan berkenaan dapat membantu mengetengahkan masalah yang dihadapi Erny. Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan segera membawa masalah keluarga Erny ke perhatian pihak berkaitan untuk bantuan sewajarnya. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Erny di talian 01111182880 atau melalui akaun bank BSN miliknya bernombor 08103-41-00004778-4.
|
Mizlyn posted on 5-7-2013 09:55 AM
Kalau la Dato Rozali dpt derma sikit dari 33j yg bakal he dapat... alangkah bertuahnya..
Bertuah ...
ADVERTISEMENT